UK, Australia meterai perjanjian perdagangan bebas

LONDON, 15 JUN – Britain bersetuju dengan perjanjian bebas perdagangan utama pasca Brexit bersama Australia, London mengumumkan hari ini, menambah bahawa mereka merancang untuk ‘meningkatkan kerjasama terhadap keselamatan, perubahan iklim dan sains serta teknologi‘.

Perdana Menteri Boris Johnson berkata perjanjian ‘menandakan era baharu hubungan United Kingdom bersama Australia, dikongsi oleh persamaan sejarah dan nilai budaya’.

“Ini adalah kedudukan Britain di tahap terbaik – melihat keluar dan memeterai perjanjian yang mengeratkan hubungan dengan sekutu dan membantu mengesahkan setiap bahagian negara untuk kembali dengan lebih baik daripada pandemik,” tambahnya.

Kerajaan United Kingdom berkata dalam kenyataan bahawa perjanjian untuk memansuhkan tarif ke atas kesemua barangan Britain ‘dalam perjanjian perdagangan utama pertama dirunding seawalnya’ sejak negara meninggalkan Kesatuan Eropah.

Perjanjian muktamad akan diumumkan dalam beberapa hari akan datang, tambahnya.

Perdana menteri Britain dan perdana menteri Australia semasa mengadakan perjumpaan di Downing Street di London, kelmarin. – AP

Hubungan perdagangan UK-Australia bernilai 13.9 bilion pound tahun lalu dan bakal berkembang di bawah perjanjian, menurut kenyataan.

Perjanjian turut menghapuskan tarif yang dikenakan ke atas barang import Australia, tambahnya.

Manakala produk Britain termasuk kereta, biskut dan seramik akan dijual lebih murah ke Australia.

Perjanjian dibuat selepas kedua-dua buah negara menyelesaikan isu berkaitan dengan sektor pertanian.

Peladang Britain akan dilindungi oleh had tarif bebas barang import selama 15 tahun, menggunakan kuota kadar tarif dan kelebihan lain.

“Kami juga menyokong pengeluar pertanian untuk meningkatkan eksport mereka ke luar negara, termasuk pasaran baharu di Indo-Pasifik,” menurut UK.

Perjanjian bersama Australia – merupakan negara di bawah jajahan Britain sebelum ini – dilihat sebagai sesuatu yang mudah dicapai berbanding dengan perbincangan perdagangan bebas bersama Amerika Syarikat dan kuasa ekonomi lain yang lebih sukar. – AFP