UK batal pengharaman penerbangan Mesir

KAHERAH, 22 OKT – Britain (UK) berkata hari ini ia menamatkan penggantungan penerbangan hampir empat tahun ke Sharm el-Sheikh, Mesir susulan pengeboman pesawat udara Rusia yang didakwa dilakukan oleh kumpulan Islamic State (IS).

Tindakan itu diambil selepas beberapa pemeriksaan lapangan terbang dan kunjungan oleh pakar keselamatan penerbangan sebagai respons kepada serangan 2015 yang membunuh kesemua 224 penumpang kapal terbang yang membawa pelancong dari tempat peranginan Laut Merah. “UK telah memutuskan penerbangan ke Sharm el-Sheikh harus disambung semula apabila situasi keselamatan membenarkan,” kata menteri Britain untuk Timur Tengah dan Afrika Utara, Andrew Murrison, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh kedutaan.

“Saya berasa gembira bahawa hari ini kami boleh mengumumkan pembatalan sekatan berkenaan.” Pengeboman telah memberi tamparan hebat kepada industri pelancongan Mesir. Duta Britain ke Mesir, Geoffrey Adams, berkata keputusan itu menyusuli kerjasama di antara pakar keselamatan di kedua-dua negara.

“Kami akan bekerjasama dengan syarikat penerbangan yang ingin meneruskan penerbangan,” tambah beliau.

Kedutaan UK berkata jumlah pelancong Britain tetap tinggi meskipun pengharaman ke atas penerbangan ke Sharm el-Sheikh, mencecah 415,000 pelawat pada 2018. – AFP