LONDON, 16 MEI – Kerajaan Britain hari ini menolak kritikan mengatakan ia bertindak terlalu perlahan dalam mengenakan sekatan perjalanan ke atas India ketika varian koronavirus yang dikenal pasti di benua kecil itu menular di UK.
England, Scotland dan Wales akan membuka sebahagian daripada ekonomi mereka esok namun pelan tindakan masa depan untuk pembukaan sepenuhnya amat diragui disebabkan varian yang lebih cepat merebak itu.
Setiausaha Kesihatan, Matt Hancock memberitahu Sky News adalah ‘silap’ untuk mencadangkan UK sepatutnya bertindak lebih cepat untuk menetapkan India sebagai negara ‘senarai merah’ di mana pelawat yang tiba perlu dikuarantin di hotel.
Beliau menjelaskan India telah diletakkan di bawah sekatan perjalanan ketat pada April sebelum varian, dikenali sebagai B1.617.2 mula disiasat.
Kerajaan Britain telah dikecam oleh ahli politik pembangkang berhubung keputusannya untuk meletakkan Pakistan dan Bangladesh di senarai merah sebelum India.

Hancock menolak cadangan mengatakan keputusan dipengaruhi oleh lawatan Perdana Menteri Boris Johnson pada April untuk membantu dalam rundingan perdagangan pasca-Brexit.
“Kami membuat keputusan berdasarkan bukti,” kata beliau mengenai lawatan yang dibatalkan akhirnya disebabkan kes COVID-19 yang meningkat di India.
Pusat hospitaliti dan hiburan seperti pawagam, muzium dan kompleks sukan dijangka dibuka di kebanyakan kawasan UK untuk kali pertama dalam beberapa bulan mulai esok.
Hancock berkata pembukaan boleh dilakukan meskipun 1,300 kes varian India ditemui di UK disebabkan kempen vaksinasi negara yang berjaya serta pemantauan rapat kes berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berasa was-was mengenai rancangan untuk membatalkan sepenuhnya sekatan pada 21 Jun. – AFP