UK desak perjanjian pasca Brexit dipinda

LONDON, 21 JULAI – Hubungan tegang pasca Brexit di antara Britain dan Kesatuan Eropah bakal menjadi lebih buruk hari ini, apabila UK menggesa pindaan besar kepada peraturan perdagangan yang dipersetujui kedua-dua pihak.

Menteri Brexit, David Frost akan menetapkan cadangan untuk melancarkan pengaturan perdagangan bagi Ireland Utara, satu-satunya kawasan UK yang mempunyai sempadan tanah dengan blok 27 negara.

Perjanjian yang dicapai sebelum perpisahan Britain bermakna pemeriksaan kastam dan sempadan mesti dijalankan ke atas sesetengah produk yang bergerak di antara Ireland Utara dan seluruh UK.

Peraturan bertujuan mengekalkan sempadan kekal dibuka di antara Ireland Utara dan anggota EU Ireland, tunggak proses perdamaian Ireland Utara. Namun ia telah menimbulkan kemarahan kesatuan British, yang berkata tindakan itu melemahkan hubungan dengan negeri lain UK.

Britain menuduh EU mengamalkan pendekatan ‘pemurni’ kepada peraturan Brexit yang mengakibatkan pita merah yang tidak wajar untuk perniagaan, dan telah menggesa blok Kesatuan supaya menunjukkan ‘sikap pragmatik.’

UK mengugut akan menggantung sebahagian daripada perjanjian sekiranya perubahan tidak dilakukan, dalam apa yang akan menjadi ketegangan lebih teruk, walaupun ia tidak dijangka akan mengambil langkah tersebut minggu ini. – AFP

Gambar fail menunjukkan feri P&O dari Scotland belayar di Laut Ireland menuju ke pelabuhan di Larne, pantai utara Ireland Utara. – AP