LONDON, 3 FEB – Kerajaan British akan melakukan perubahan kepada sistem bagi mengendalikan pengganas yang dibebaskan dari penjara, susulan kejadian polis menembak mati seorang pelampau Islam yang menikam dua lelaki di selatan London, semalam.
Polis berkata Sudesh Amman, 20, yang memakai ves bunuh diri palsu, ditembak di Streatham High Road, kira-kira jam 2 petang (1400 GMT), selepas dia dibebaskan lebih awal daripada tempoh pemenjaraan ekoran sabitan keganasan.
Kejadian itu berlaku selepas polis menembak mati seorang pengganas yang dibebaskan awal dan menikam dua orang yang menghadiri persidangan pemulihan banduan berhampiran Jambatan London di ibu negara Britain, kira-kira dua bulan lalu.
Kerajaan memberi maklum balas terhadap serangan itu dengan mengumumkan hukuman lebih panjang bagi kesalahan keganasan, selain menghentikan pembebasan awal dan kegiatan itu dalam tahun kewangan akan datang.
Perdana Menteri, Boris Johnson, selepas insiden terbaharu itu berkata: “Esok (Isnin) kita akan memaklumkan pelan lanjut perubahan dasar bagi mengendalikan pengganas yang disabit kesalahan.”
Timbalan Penolong Pesuruhjaya Lucy D’Orsi dalam satu kenyataan di luar New Scotland Yard berkata: “Suspek baharu dibebaskan dari penjara ekoran sabitan kesalahan keganasan berkaitan Islam.”
Beliau berkata, identiti suspek bagaimanapun belum dikenal pasti secara rasmi… kita yakin dia adalah Amman.”
Amman dipenjarakan susulan 13 sabitan kegiatan keganasan, pada Disember 2018, sebelum dibebaskan dan diletakkan di bawah pengawasan polis baru-baru ini, lapor media tempatan. – AFP




























