UK iktiraf senarai vaksin tambahan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 NOV – Bermula 22 November nanti, United Kingdom (UK) akan mengiktiraf vaksin-vaksin yang disenaraikan dalam Emergency Use Listing Pertubuhan Kesihatan Sedunia termasuk Sinovac, Sinopharm (Beijing Version) dan Covaxin di samping vaksin-vaksin yang diiktiraf lain iaitu Pfizer BioNTech, Oxford AstraZeneca (Covishield), Moderna dan Janssen (J&J).

Dengan penambahan vaksin-vaksin berkenaan ke dalam senarai vaksin-vaksin yang diiktiraf untuk perjalanan masuk, ia akan memberikan manfaat kepada mereka yang telah menerima vaksinasi lengkap dari negara-negara seperti Emiriah Arab Bersatu, Malaysia dan India.

Sementara itu, penumpang-penumpang yang telah lengkap vaksinasi dan telah menerima sijil vaksinasi mereka daripada salah satu daripada lebih 135 buah negara dan wilayah yang diiktiraf, tidak diperlukan untuk mengambil ujian pra-pelepasan, ujian hari kelapan atau pengasingan diri apabila tiba.

Para penumpang hanya perlu membayar bagi ujian aliran sisi (lateral flow) yang perlu diambil sebelum berakhir hari kedua selepas ketibaan mereka. Mereka perlu menunjukkan bukti bahawa ujian berkenaan telah dibeli dengan syarikat penerbangan dan pasukan Sempadan UK.

Pengumuman dibuat melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan United Kingdom bagi pengemaskinian syarat-syarat kemasukan ke negara berkenaan, baru-baru ini, menurut Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam.

Di samping itu, sesiapa yang berusia 17 tahun dan ke bawah yang tiba di England juga akan dilayan sebagai divaksinasi lengkap di sempadan. Oleh itu, mereka akan dikecualikan daripada pengasingan diri, ujian hari kelapan dan ujian pra-pelepasan. Mereka hanya akan diperlukan untuk mengambil satu ujian pasca-ketibaan dan satu ujian pengesahan PCR percuma jika mereka positif.

Dalam hubungan itu, para pengunjung, pelawat dan penumpang yang ingin terbang ke UK akan dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat terkini dengan melayari laman sesawang, www.gov.uk.