Sunday, November 3, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    UK, Kanada, Australia sedia kukuh kerjasama dengan ASEAN

    KUALA LUMPUR, 25 OKT – United Kingdom (UK) bersedia untuk mengukuhkan lagi kerjasama dengan ASEAN bagi meningkatkan revolusi hijau untuk masa depan, manakala Kanada meneroka peluang kemungkinan mengadakan perjanjian perdagangan bebas, dan Australia ingin meningkatkan dagangan dengan blok itu termasuk dalam ekonomi hijau semasa Sidang Kemuncak Pelaburan Perniagaan ASEAN 2021 yang diadakan secara maya, hari ini.

    Perdana Menteri Boris Johnson berkata UK ketika ini menerajui dunia dalam revolusi ini.

    “Dengan ‘Pelan 10 Perkara’ kami yang bukan sahaja bertujuan untuk membangun kembali dengan lebih baik tetapi lebih hijau dan lebih lestari. Anda tidak akan jumpa rakan kongsi lebih baik untuk bekerjasama dalam era baharu yang menarik ini,” katanya. Johnson berkata Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2021 (COP26) di Glasgow minggu depan menjadi peluang terbaik untuk memacu dunia ke arah karbon sifar.

    “Dan jika kita dapat gunakan peluang itu untuk bertindak secara substantif, saya yakin kita bukan sahaja mampu mengekalkan kenaikan suhu di bawah 1.5 darjah, tetapi kita juga dapat membawa revolusi industri hijau di seluruh dunia, ekonomi berkembang di samping mengurangkan pelepasan karbon,” katanya.

    Beliau berkata, hakikatnya memang tiada pilihan antara mahukan teknologi hijau dan mewujudkan peluang pekerjaan kerana ia adalah dua muka pada duit syiling yang sama.

    Perdana Menteri Boris Johnson (kiri), Perdana Menteri Justin Trudeau (tengah) dan Perdana Menteri Scott Morrison semasa Sidang Kemuncak Pelaburan Perniagaan ASEAN 2021 yang diadakan secara maya. – AP

    Sementara itu, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau dalam ucaptama pada sidang itu berkata perjanjian perdagangan bebas akan mendorong pertumbuhan sektor teknologi, perdagangan digital, pembuatan, pertanian dan perkhidmatan profesional.

    “Ia akan menjadi pengubah keadaan bagi kebanyakan syarikat dan usahawan kami, membantu mereka berhubung dan membina hubungan perniagaan di seluruh dunia.

    “Ini akan mewujudkan pekerjaan untuk kelas menengah. Membantu mengurangkan halangan perdagangan dan memberi pelabur lebih keyakinan untuk mengembangkan perniagaan di pasaran negara lain. “Dan ini akan membantu melindungi rantaian bekalan kita daripada ketidakpastian pandemik global,” katanya.

    Manakala, Perdana Menteri Australia, Scott Morrison dalam ucapannya berkata Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) penting untuk menyatukan ekonomi ASEAN dan negara lain di rantau ini.

    Beliau berkata melalui inisiatif Perdagangan Serantau untuk Pembangunan dan Piawaian Digital Australia bernilai A$46 juta, negara itu bekerjasama dengan ASEAN untuk mendukung pelaksanaan RCEP, termasuk dengan memberi tumpuan yang lebih besar kepada e-dagang dan perdagangan digital di seluruh rantau ini.

    Katanya, Australia juga sedang berusaha secara bilateral untuk menjalin perjanjian baharu dan memperdalam pengaturan sedia ada dengan rakan kongsi serantau seperti Vietnam, Indonesia dan Singapura, bagi meningkatkan dagangan dua hala dan membuka sempadan baharu dalam ekonomi hijau. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda