LONDON, 19 SEPT – Britain mengesan satu kes ‘bovine spongiform encephalopathy’ (BSE) atau lebih sinonim dalam kalangan orang ramai sebagai penyakit lembu gila.
Agensi Kesihatan Tumbuhan dan Haiwan (APHA), pada minggu ini berkata bangkai lembu berkenaan sudah dikeluarkan dari sebuah ladang di Somerset, barat daya England dan memberi jaminan ia tidak mengundang risiko keselamatan makanan.
“Status risiko keseluruhan United Kingdom (UK) untuk BSE kekal terkawal dan tiada risiko terhadap kesihatan awam dan keselamatan makanan,” kata Ketua Pegawai Veterinar, Christine Middlemiss.
Susulan kes itu, APHA akan melakukan siasatan menyeluruh terhadap ternakan lembu, premis, potensi sumber jangkitan dan mengeluarkan laporan penuh kes terbabit dalam tempoh terdekat.
Lima kes BSE, yang dikaitkan dengan penyakit membawa maut dalam kalangan manusia, Creutzfeldt-Jakob, dikenal pasti di Britain sejak 2014.
Britain terpaksa menghapuskan jutaan lembu ketika epidemik jangkitan penyakit itu sekitar 1990-an. – AFP