UK lancar vaksin‘booster’ minggu depan

LONDON, 14 SEPT – Pekerja barisan hadapan dan penjaga sosial, warga emas dan golongan rentan di Britain akan mula menerima suntikan ‘booster’ vaksin COVID-19 mulai minggu depan, umum kerajaan hari ini.

Menteri Kesihatan, Sajid Javid memberitahu parlimen beliau telah meluluskan satu cadangan daripada badan penasihat Jawatankuasa Vaksinasi dan Imunisasi (JCVI) untuk memulakan program tersebut.

Beliau juga meluluskan saranan untuk menawarkan suntikan kepada kanak-kanak berusia 12 hingga 15 tahun ketika kebimbangan meningkat mengenai penularan virus di sekolah.

Pengerusi JCVI, Wei Shen Lim berkata sebelumnya bahawa program itu akan diperkenalkan untuk menyediakan perlindungan tambahan menjelAangnya bulan-bulan musim sejuk.

Kadar jangkitan COVID-19 masih tinggi di Britain, meskipun program vaksinasi besar-besaran yang telah melihat 81 peratus daripada kesemua orang dewasa menerima dua dos vaksin.

Setiausaha Kesihatan Sajid Javid tiba di Downing Street di London kelmarin. – AFP

Menurut Lim, data menunjukkan ‘penurunan kecil’ dalam keberkesanan vaksin COVID-19 selepas dos kedua daripada ‘lebih 90 peratus kepada kurang 90 peratus.’

Pengurangan paling ketara adalah dalam golongan yang berusia lebih daripada 50 tahun, menjadikannya penting untuk memberikan mereka dan kumpulan berisiko lain suntikan ‘booster’ ketiga.

Beliau memberitahu sidang media tujuannya adalah memastikan ‘tahap perlindungan adalah lebih tinggi semasa bulan paling sejuk,’ sejajar dengan beberapa negara lain.

Ketua Agensi Pengawal Selia Produk Penjagaan Kesihatan dan Ubat Britain (MHRA), June Raine berkata vaksin Pfizer, Moderna dan AstraZeneca boleh digunakan.

Keutamaan akan diberikan kepada Pfizer dan Moderna, di mana vaksin Moderna akan diberikan setengah dos. Suntikan boleh diberikan pada masa yang sama dengan vaksin selesema, tambah beliau. – AFP