UK longgar sekatan sempena Krismas

LONDON, 25 NOV – Peraturan sekatan terhadap COVID-19 membabitkan pertemuan sosial dan perjalanan akan dilonggarkan di United Kingdom (UK) sempena sambutan Krismas, bulan depan.

Menurut wakil kerajaan UK, melalui kelonggaran sekatan itu, seramai tiga orang dalam setiap isi rumah dibenarkan menyambut perayaan berkenaan bersama-sama.

Berdasarkan kenyataan bersama oleh pihak pentadbiran di empat negara UK iaitu England, Scotland, Wales dan Ireland Utara, peraturan itu akan dikuatkuasakan bermula 23 hingga 27 Disember depan.

Katanya, pada tahun 2020 yang bakal melabuhkan tirainya, mereka menyedari bahawa ini adalah tahun yang amat sukar bagi semua orang. “Kita semua harus membuat pengorbanan yang besar dalam kehidupan seharian dan ramai kumpulan komuniti serta agama terpaksa mengubah atau ‘meninggalkan’ sambutan perayaan yang lazim diraikan bagi membendung penularan COVID-19, sekali gus menyelamatkan lebih banyak nyawa.

“Ini tidak boleh menjadi sambutan Krismas yang ‘normal’. Justeru dalam kita menuju ke musim perayaan ini, kami bekerjasama secara rapat untuk mencari jalan bagi keluarga dan rakan bertemu antara satu sama lain.

“Pertemuan itu perlu dilakukan untuk masa yang singkat kerana menyedari ia harus dilakukan dalam keadaan yang terhad serta dengan langkah berhati-hati,” katanya, semalam.

Pada masa sama, kenyataan itu berkata, kelonggaran untuk tiga individu berkumpul dalam setiap isi rumah akan hanya terguna pakai di rumah persendirian, ruang luar dan tempat ibadat. – AFP