UK lulus ubat COVID-19 GSK

LONDON, 2 DIS – Pengawal selia Britain hari ini meluluskan ubat GlaxoSmithKline untuk merawat mereka yang berisiko tinggi mendapat simptom teruk COVID-19, dengan pengilang mengatakan ia tampaknya efektif menentang varian Omicron.

Rawatan antibodi, sotrovimab, ‘didapati selamat dan berkesan mengurangkan risiko dimasukkan ke hospital dan kematian ke atas pesakit yang mengalami jangkitan COVID-19 pada tahap ringan hingga sederhana yang berisiko tinggi menghidap penyakit teruk,” kata Agensi pengawal Selia produk Ubat-ubatan dan Penjagaan Kesihatan (MHRA).

Data praklinikal menunjukkan yang ubat itu ‘mengekalkan aktiviti menentang mutasi penting varian baharu SARS-CoV-2, Omicron,” kata GlaxoSmithKline (GSK) dalam satu kenyataan.

“Setakat ini, sotrovimab telah menun-jukkan aktiviti berterusan menentang semua varian-varian membimbangkan dan mempunyai kepentingan yang didefinisikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” tambahnya.

Ujian itu masih diteruskan ‘untuk mengesahkan aktiviti peneutralan sotrovimab ke atas gabungan semua mutasi Omicron dengan tujuan untuk memberikan kemas kini menjelang hujung tahun ini’.

Satu dos tunggal ubat itu dikesan dapat mengurangkan risiko dimasukkan ke hospital dan kematian sekitar 79 peratus dalam orang dewasa yang berisiko tinggi dengan gejala jangkitan COVID-19, menurut MHRA.

Sotrovimab dibangunkan oleh GSK Britain dan Vir Biotechnology yang berpangkalan di luar California.

Ia adalah antibodi monoklon, sejenis protein yang terikat kepada protein pepaku koronavirus, mengurangkan keupayaannya untuk memasuki sel badan. – AFP