UK, Malaysia kerjasama dalam ekonomi digital

KUALA LUMPUR, 8 NOV – United Kingdom (UK) menyatakan minat untuk meningkatkan kerjasama ekonomi dengan Malaysia terutamanya dalam bidang ekonomi digital, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Ekonomi digital juga merupakan satu daripada tumpuan Malaysia dalam Rancangan Malaysia ke-12 dan dalam usaha membangunkan semula ekonomi era pasca pandemik, kata beliau.

“Kerjasama dalam ekonomi digital dalam pelbagai hal termasuk daripada segi pendidikan dan pertukaran maklumat, penyelidikan dan pembangunan dan sebagainya,” katanya pada sidang media, di sini pada Isnin.

Terdahulu, beliau bersama Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Luar, Komanwel dan Hal Ehwal Pembangunan UK, Elizabeth Truss.

Truss yang tiba di Malaysia pada Ahad, berada dalam rangka lawatan pertama ke rantau Asia Tenggara sejak dilantik sebagai Setiausaha Luar UK pada September 2021.

Selain itu, Saifuddin berkata kedua-dua negara turut komited untuk memperkukuhkan Komanwel selepas pandemik.

“Ini mungkin waktu yang sesuai untuk Komanwel melihat penekanan semula dalam beberapa perkara. Dua perkara disebutkan tadi dalam sektor ekonomi dan pendidikan bagi negara-negara Komanwel,” katanya.

Menurut Saifuddin, Malaysia juga mengalu-alukan penglibatan UK dalam Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) dan meluahkan penghargaan atas penglibatan negara itu dalam latihan ketenteraan sempena 50 tahun perjanjian berkenaan.– Bernama

Datuk Saifuddin Abdullah (tengah) menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Khairy Jamaluddin Abu Bakar (kanan) dan Elizabeth Truss kelmarin. – Bernama