UK perkenal 14 hari kuarantin bagi ketibaan antarabangsa

LONDON, 22 MEI – Britain akan memperkenalkan tempoh kuarantin 14 hari bagi mereka yang tiba di UK, setiausaha Utara Ireland, Brandon Lewis mengesahkan hari ini dan berkata menteri-menteri akan memberikan perinciannya kemudian.

“Orang ramai yang datang ke UK harus menjalani kuarantin,” kata Lewis, dengan mengatakan bahawa peraturan baharu itu akan membabitkan semua warganegara Britain dan sesiapa sahaja.

“Kami ingin memaklumkan bahawa anda perlu membuat pengaturan sendiri, jika anda datang ke UK maka anda perlu membuat pengaturan berkenaan.

“Bagi warga UK yang pulang, mereka akan dikuarantin di rumah, bagi pelawat, mereka perlu membuat pengaturan terlebih dahulu di sini dan melakukan kuarantin selama 14 hari.”

Rancangan itu dijangka akan berkuat kuasa bulan depan dan butir-butir lebih lanjut akan dijelaskan oleh Setiausaha Dalam Negeri, Priti Patel semasa taklimat harian Downing Street.

Lewis berkata dasar tersebut akan dikaji setiap tiga minggu. Terdapat pengecualian untuk perkhidmatan pengangkutan jalan raya dan pegawai perubatan, sementara kawasan perjalanan biasa di Ireland tidak akan terjejas.

Dipercayai pelawat dari Perancis harus dikuarantin, walaupun terdapat dakwaan pengecualian pada awal bulan ini. Langkah itu mungkin menimbulkan kontroversi, terutamanya di kalangan sektor penerbangan.

Ketua syarikat Ryanair, Michael O’Leary pada awal minggu ini telah mengatakan rancangan kuarantin tersebut merupakan cadangan yang ‘bodoh’, sementara badan perdagangan Airlines UK mengatakan bahawa ia akan membunuh perjalanan antarabangsa ke UK.

Terdapat kritikan di UK mengenai kekurangan kuarantin sementara negara-negara lain seperti Korea Selatan, Sepanyol dan AS memang mengenakan sekatan seperti itu, justeru menimbulkan persoalan mengapa langkah-langkah tersebut baru dikenakan sekarang.

Ahli genetik dan pemenang Nobel Prize, Sir Paul Nurse mengkritik kerajaan mengenai pengenalan tempoh kuarantin itu. – AFP

Gambar menunjukkan kawalan pasport di Dewan Ketibaan Terminal 2, Lapangan Terbang Heathrow, London. Britain akan perkenalkan kuarantin 14 hari untuk ketibaan antarabangsa. – AFP