UK tempah ‘kereta api terpantas Eropah’

PARIS, 9 DIS – Landasan kereta api berkelajuan tinggi baharu Britain, HS2 akan mendapat ‘kereta api terpantas Eropah’ yang akan dibina di negara itu menerusi usaha sama Perancis-Jepun, menurut kenyataan bersama hari ini.

Alstom Perancis dan Hitachi Rail Jepun akan membina 54 buah kereta api dalam satu perjanjian bernilai hampir AS$2.6 bilion bagi firma HS2 yang dibiayai kerajaan, kata kedua-duanya dalam satu kenyataan.

Para pengilang akan ‘menghantar kereta api operasi terpantas Eropah’, berkeupayaan memecut pada kelajuan maksimum 360kmsj, tambah mereka.

Kereta api elektrik penuh akan beroperasi pada seksyen pertama landasan HS2 baharu yang dibina antara London dan English Midlands.

Ia juga akan beroperasi pada landasan yang sedia ada di bandar-bandar utara UK iaitu Glasgow, Liverpool dan Manchester.

Gambar fail diambil pada 20 Januari 2020 menunjukkan seorang pekerja melintasi tanda tapak pembinaan bagi seksyen projek kereta api berkelajuan tinggi HS2 Britain di London. – AFP

“Pengumuman hari ini itu menempatkan Britain berada kukuh di barisan hadapan revolusi kereta api berkelajuan tinggi dengan kereta api-kereta api canggih ini akan memberi perkhidmatan kepada komuniti dari seluruh London hingga Glasgow,” kata Setiausaha Pengangkutan, Grant Shapps dalam satu kenyataan.

Kereta api itu akan dibina di kilang-kilang Alstom dan Hitachi di England, sementara kontrak itu dijangka akan menyediakan 2,500 pekerjaan seluruh UK.

“Kereta api laju buatan Britain itu akan menjadi yang terpantas di Eropah dan saya berbangga yang Hitachi memainkan peranan dalam membantu untuk meningkatkan mobiliti di UK menerusi projek ini,” kata ketua eksekutif Hitachi Rail, Andrew Barr.

Berita hari ini itu muncul sebulan selepas Perdana Menteri Britain, Boris Johnson mengurangkan rancangan HS2 bagi utara England di tengah kos meningkat.

HS2 yang akan dibina secara berperingkat melibatkan perbelanjaan sekitar £100 bilion itu pada peringkat awal akan menghubungkan London ke bandar kedua Britain, Birmingham di English Midlands dijangka dibuka sekitar tahun 2029-2033.

Fasa kedua membabitkan laluan ke Manchester namun tidak sampai ke Leeds, dijangka diselesaikan sebelum tahun 2035-2040. – AFP