HANOI – Wilayah utara Quang Ninh, tempat terletaknya lombong terbesar di Vietnam itu juga merupakan tempat kelahiran kraf ukiran unik berasaskan batu arang.
Dengan kemahiran pertukangan mereka, pengukir tempatan mengubah ketulan arang hitam yang kasar menjadi arca atau cenderahati yang indah untuk pengunjung ke wilayah itu.
Ukiran batu arang Quang Ninh bermula pada abad ke-19 semasa di bawah pemerintahan kolonial Perancis. Pada mulanya, pelombong batu arang mengukir batu arang hanya untuk keseronokan dan menyebarkan seni kraf dari satu lombong ke lombong yang lain.
Pada tahun 1990an, arca batu arang berkembang pesat, membentuk kelompok bengkel di Wad Hong Hai dan beberapa buah kedai di Le Thanh Tong Street di Ha Long City.
Selepas Syarikat Kraftangan dan Seni Halus Quang Ninh dan Koperasi Hong Gai dibubarkan, ramai tukang mahir menubuhkan bengkel mereka sendiri. Walau bagaimanapun, disebabkan proses kerjanya yang sukar, kraf itu kini hanya diamalkan oleh sepasang suami isteri di Ha Long City dan berdepan risiko dilupakan.
Tidak sukar untuk mencari bengkel pengukir batu arang terakhir di bandar ini kerana bunyi menggergaji, memahat dan mengukir dapat didengari datang dari dalam bengkel itu. Terletak di kaki bukit batu kapur, bengkel berusia 20 tahun itu, yang berkeluasan kira-kira 30 meter persegi, diliputi dengan habuk batu arang dan bersepah dengan peralatan.
Nguyen Tuan Quyet merupakan generasi ketiga keluarganya yang telah terlibat dalam ukiran batu arang, dan beliau mula berlatih kraf itu sejak usia lapan tahun.
Dia dan isterinya, Nguyen Thi Thanh Binh, telah mencipta beribu-ribu arca seperti rusa, singa, dan mercu tanda ikonik Quang Ninh, Teluk Ha Long sepenuhnya daripada batu arang di bengkel kecil mereka.
Menurut Binh, bahagian yang paling penting dalam kraf itu ialah memilih batu arang yang betul. Mereka hanya menggunakan batu arang yang dihasilkan oleh tiga lombong tertentu di wilayah itu kerana produk itu kuat dan berkilat.
Selepas mendapatkan bahan yang sesuai, langkah berikut termasuk memotong, mengukir dan menggilap.
“Memandangkan ketulan itu berat dan hanya boleh dipotong oleh seorang dengan satu gergaji dipegang di sebelah tangan, proses pemotongan boleh mencabar bagi wanita. Setiap proses mesti dilakukan secara manual kerana produk yang diukir mungkin pecah dan tidak boleh dibuat menggunakan mesin kerana batu arang mudah retak,” kata Binh, sambil menambah produk boleh mengambil masa sehingga 50 hari untuk disiapkan.
Menurut Quyet, kraf itu memerlukan ketelitian dan ketekunan. “Orang yang berbakat, belajar lebih cepat, tetapi kita masih boleh melatih mereka yang tidak berbakat dan tidak bepengalaman. Selagi awda suka kerja awda, awda boleh melakukannya,” katanya.
Pelanggan utama mereka adalah pelancong yang lebih suka arca batu arang dan syarikat yang menempah karya itu sebagai hadiah akhir tahun. Profesion ini memberikan keluarga mereka pendapatan bulanan antara VND30 hingga VND40 juta (AS$1,300 hingga AS$1,700).
Risiko dilupakan
Quyet dan isterinya kini merupakan pengukir batu arang yang paling muda dan terakhir di wilayah itu. Golongan warga emas semuanya sudah bersara, manakala golongan belia tidak lagi berminat dengan kraf tradisional kerana kesukarannya.
“Terdapat 12 hingga 15 isi rumah yang mengikuti profesion itu kira-kira 10 hingga 20 tahun lalu, tetapi kini hanya kami berdua yang kekal di wilayah ini. Saya dan suami berazam untuk menekuni bidang seni ukiran batu arang kerana ini adalah kraf warisan turun temurun daripada nenek moyang. Bagaimanapun, tidak kira seberapa keras kami berusaha, kami hanya boleh bekerja selama 10 tahun lagi sebelum bersara,” kata Binh yang mukanya dilumuri habuk batu arang.
“Keluarga saya telah menawarkan untuk mengajar mengukir batu arang kepada anak muda secara percuma malah memberikan mereka penginapan percuma dan perbelanjaan bulanan sebanyak VND2 hingga VND3 juta (AS$86 hingga AS$129), tetapi hampir tidak ada yang datang.”
Dua anak perempuan pasangan itu tidak mahu mengikuti profesion ibu bapa mereka. Memandangkan Quyet dan Binh adalah dua pengukir batu arang terakhir di Quang Ninh, kraf itu berada di ambang kepupusan.
Mereka cuba mencari peluang untuk mempromosikan kraf itu dan menyerahkan kemahiran mereka kepada generasi muda dengan mencari hala tuju baharu.
Salah satu langkah yang mereka ambil ialah sentiasa memperkenalkan karya mereka dalam rangkaian media sosial, yang membantu mereka mengakses pelanggan baharu dan memupuk semangat kepada generasi muda.
Karya mereka telah diperkenalkan kepada orang ramai pada pameran yang menampilkan ukiran batu arang Quang Ninh yang diadakan di wilayah tengah Thua Thien – Hue dari Julai hingga September tahun lalu.
Sebelum penularan wabak itu, bukan sahaja dalam negara malah ramai pelancong asing dari China, Jepun dan negara Eropah mengunjungi bengkel mereka untuk membeli dan membawa pulang cenderahati batu arang yang unik. Bagaimanapun, disebabkan kemerosotan pelanggan dalam tempoh dua tahun yang lalu akibat wabak itu, mereka telah mengurangkan penghasilan mereka.
“Ukiran batu arang hanya wujud di Wilayah Quang Ninh, sebuah wilayah lombong batu arang. Saya berharap pihak berkuasa tempatan akan memberikan kami modal dan latihan untuk memelihara kraf ukiran batu arang yang terkenal,” kata Quyet. – ANN/VNS