Ukiran inai Uncle Janggoats jadi pilihan

LANGKAWI – Sebuah gerai di Bazar Syawal Pekan Rabu di sini sentiasa dipenuhi orang ramai hampir setiap malam sejak dibuka bermula pertengahan Ramadan lalu dan jumlah pelanggannya semakin bertambah menjelang sambutan Aidilfitri lalu.

Gerai ini tidak menjual kuih-muih atau busana hari raya kepada pengunjung, sebaliknya seorang lelaki bertanjak menawarkan perkhidmatan mengukir inai kepada pelanggan yang ingin menceriakan penampilan mereka semasa sambutan hari lebaran.

Bercakap kepada Bernama, Mohammad Fitri Mansor, 34, berkata setiap hari puluhan pelanggan mengunakan perkhidmatan mengukir inai di gerai yang dibukanya setiap malam sepanjang Ramadan.

“Setiap hari hampir 30 orang pelanggan datang mendapatkan perkhidmatan mengukir inai ini, jumlah ini akan bertambah menjelang hari raya. Ada lebih 50 pilihan corak seperti bunga-bungaan, mandala, arabic dan sekiranya ada corak pilihan tersendiri pun saya boleh buat.

“Harga ukiran inai bermula RM5 untuk corak paling ringkas, harga akan meningkat sekiranya corak lebih sukar dan perlu mengambil masa yang lama,” katanya yang berpengalaman mengukir inai sejak enam tahun lalu.

Mohammad Fitri Mansor atau dikenali sebagai dikenali sebagai ‘Uncle Janggoats’ dalam kalangan penggiat seni visual di pulau ini mengukir inai di tangan pelanggan di gerainya di Bazar Syawal Pekan Rabu, baru-baru ini. – Bernama

Dikenali sebagai ‘Uncle Janggoats’ dalam kalangan penggiat seni visual di pulau ini, Mohammad Fitri berkata setelah ukiran siap pelanggan perlu menunggu sehingga inai kering sebelum dicuci.

“Ukiran inai ini boleh bertahan sehingga seminggu bergantung kepada penjagaan individu tersebut,” kata Mohammad Fitri yang juga satu-satunya pengukir inai lelaki yang aktif di Langkawi.

Menawarkan perkhidmatan mengukir inai di bazar tersebut sejak lebih empat tahun lalu, Mohammad Fitri berkata permintaan semakin bertambah setiap tahun.

“Dahulu cuma ada sekitar tiga gerai yang menawarkan perkhidmatan ukiran inai atau henna ini, jumlah semakin bertambah kepada lebih enam gerai.

“Jumlah pelanggan juga sentiasa bertambah, pelanggan utama ialah wanita namun pernah beberapa tahun lepas ada seorang pelanggan lelaki yang minta saya ukir inai corak ketupat di tangannya,” kata Mohammad Fitri. – Bernama