Ukraine rai ulang tahun kemerdekaan ke-30

KYIV, 24 OGOS – Lebih 150 acara dianjurkan untuk meraikan ulang tahun kemerdekaan ke-30 Ukraine, hari ini, di Ukraine dan negara-negara lain termasuk di Malaysia.

Dalam satu kenyataan, Kedutaan Ukraine di Malaysia menyatakan acara istimewa itu bertemakan ‘Ukraine: You are my only one’, melambangkan visi kemerdekaan sebagai aspirasi yang direalisasikan  kebanyakan generasi Ukraine.

Ukraine mengisytiharkan kemerdekaannya pada 24 Ogos 1991, selepas kejatuhan Kesatuan Soviet ketika itu.

Acara-acara utama di Kyiv termasuk Sidang Kemuncak Crimea, Sidang Kemuncak Wanita Pertama, serta perbarisan tentera.

Beberapa acara di luar negara turut diadakan termasuk di Malaysia.

Berikutan pematuhan ketat terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa, kedutaan Ukraine tidak akan mengadakan acara terbuka bagi sambutan itu.

“Namun kami gembira kerana untuk tahun kedua berturut-turut, satu daripada mercu tanda Malaysia yang paling terkenal, Menara KL akan diterangi dengan cahaya berwarna biru dan kuning – warna bendera Ukraine,” menurut kenyataan itu.

Tahun ini, Menara Alor Star di Kedah juga akan turut serta dan diterangi cahaya biru serta kuning.

Selain itu beberapa mercu tanda terkenal dunia turut akan dihiasi dengan warna bendera Ukraine, seperti Air Terjun Niagara di AS dan Kanada, Burj Khalifa di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qutb Minar di India, dan banyak lagi. – Bernama

Barisan kereta kebal melintasi di Jalan Khreshchatyk, semasa perarakan tentera untuk menyambut Hari Kemerdekaan Ukraine yang ke-30 di Kiev, semalam. – AP