Ukraine tamat fasa pengunduran tentera

BOGDAVIVKA, UKRAINE, 8 NOV – Tentera Ukraine dan pemisah sokongan Kremlin pada hari ini dijangka menamatkan fasa terakhir pengunduran tentera di kawasan timur dalam langkah utama sebelum sidang kemuncak dengan Rusia.

Tindakan yang lama dinanti-nantikan itu merupakan prasyarat kepada rundingan pertama di antara Presiden Rusia Vladimir Putin dan pemimpin Ukraine Volodymyr Zelensky.

Sidang kemuncak itu, dengan tarikhnya masih belum ditetapkan, akan dibroker oleh Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Canselor Jerman Angela Merkel.

Asalkan pencabulan gencatan senjata tidak berlaku di kawasan itu, pengunduran dijangka bermula pada tengah hari di rantau Donetsk di antara kampung Petrivske di zon yang dikawal oleh pemisah dan Bogdanivka di wilayah yang dikawal Kiev, beritahu jurucakap tentera Ukraine Andriy Ageyev kepada AFP.

Namun dalam tanda-tanda ketegangan berlarutan, seorang tentera Kiev terbunuh semalam di kawasan Donetsk walaupun bukan di kawasan gencatan senjata, kata tentera.

Pihak yang berperang itu mengadakan dua pengunduran yang sama pada Jun dan Oktober.

Pengunduran tentera akan menjadi ‘prasyarat terakhir’ untuk penganjuran sidang kemuncak, kata Menteri Luar Ukraine Vadym Prystaiko pada minggu ini.

Beliau telah meluahkan harapan mesyuarat, yang pertama diadakan pada peringkat tinggi sejak 2016, mungkin diadakan di Paris pada November. – AFP

Seorang tentera Ukraine meronda lombong arang batu Butovka di barisan depan pemisah berdekatan Bandar Avdiivka, rantau Donetsk pada 7 November. – AFP