WASHINGTON, 20 APRIL – Ukraine menerima pesawat pejuang dan komponen pesawat untuk menguatkan tentera udaranya dalam menghadapi pencerobohan Rusia, kata Pentagon semalam.
Bagaimanapun, Pentagon enggan menyatakan bilangan pesawat atau dari mana asalnya.
Pengumuman itu dibuat seminggu selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden melancarkan pakej bantuan ketenteraan bernilai AS$800 juta untuk Kyiv, termasuk peralatan yang lebih berat seperti howitzer, susulan pertempuran semakin memuncak di timur Ukraine.
Tindakan itu menunjukkan perubahan sikap bagi pihak Barat yang pada mulanya enggan menyediakan Ukraine dengan persenjataan berat untuk mengelak tindakan yang mungkin boleh dipertimbang Rusia sebagai pembabitan secara langsung dalam konflik itu.
Tentera Ukraine “kini mempunyai lebih pesawat pejuang berbanding dua minggu lalu,” kata jurucakap Pentagon, John Kirby kepada pemberita semalam.
“Tanpa mengetahui apa yang disediakan oleh negara lain, mereka (pasukan tentera Ukraine) telah menerima platform dan bahagian tambahan bagi meningkatkan saiz armada mereka,” katanya.
Kyiv sebelum ini telah meminta rakan kongsi Baratnya untuk menyediakan jet pejuang MiG-29.
Terdapat juruterbangnya yang mahir untuk mengendalikannya dan ia dimiliki oleh segelintir negara Eropah Timur. – AFP