‘Ukur suhu badan di dahi jamin ketepatan’

PUTRAJAYA, 6 OGOS – Alat pengukur suhu badan harus digunakan di dahi bagi menjamin ketepatan bacaan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata menggunakan alat pengukur suhu badan di tempat lain selain dahi boleh menyebabkan ketepatan bacaan suhu diragui.

“Orang ramai perlu patuh kepada cara penggunaan alat mengukur suhu badan iaitu dengan menggunakannya di dahi bagi memastikan ketepatan bacaan suhu,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, setakat ini belum ada laporan diterima mengenai kesan sampingan (penggunaan pengukur suhu badan di dahi) walaupun ada kebimbangan dalam kalangan masyarakat berhubung penggunaan peralatan berkenaan.

“Tidak ada bukti saintifik mengatakan (penggunaan pengukur suhu badan di dahi) boleh sebabkan penyakit lain,” jelasnya apabila ditanya mengenai tindakan segelintir pihak menggunakan alat pengukur suhu badan di tangan.

Mengulas mengenai kajian pelitup muka guna semula bagi pelajar sekolah, beliau menjelaskan pihaknya telah bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menghasilkan pelitup muka fabrik yang boleh dibasuh. – Bernama