Saturday, April 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Ukur tahap keyakinan perniagaan negara melalui BSI

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MAC – Bank Pusat Brunei Darussalam (BDCB) hari ini telah menerbitkan Indeks Sentimen Perniagaan (BSI) Negara Brunei Darussalam bagi Februari 2022.

    Indeks berkenaan adalah berdasarkan kaji selidik ke atas lebih 550 perniagaan bersaiz mikro, kecil, sederhana dan besar daripada 11 sektor ekonomi di kesemua daerah di Negara Brunei Darussalam.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan BDCB, BSI bertujuan untuk mengukur tahap sentimen atau keyakinan perniagaan-perniagaan di Negara Brunei Darussalam dalam berbagai aspek termasuk keadaan semasa dan jangkaan bagi iklim perniagaan, pelaburan, jumlah pengambilan pekerja dan kos menjalankan perniagaan.

    Memandangkan BSI menggunakan pendekatan berpandangan ke hadapan, ia boleh digunakan sebagai salah satu petunjuk utama makroekonomi.

    BSI mempunyai sembilan sub-indeks di mana bagi Februari 2022, indeks keadaan perniagaan mencatatkan BSI 50.1; keadaan perniagaan satu bulan ke hadapan (50.3); pelaburan (49.9); pelaburan satu bulan ke hadapan (50.5); pelaburan tiga bulan ke hadapan (50.7); pengambilan pekerja (50.1); pengambilan pekerja satu bulan ke hadapan (50.2); kos perniagaan bulan ini (50.3); dan kos satu bulan ke hadapan (50.3).

    Kenyataan menjelaskan, nilai BSI atas 50 adalah keadaan yang lebih baik atau sentimen lebih optimistik berbanding dengan bulan sebelumnya, nilai BSI 50 pula menunjukkan keadaan lebih kurang sama berbanding dengan bulan sebelumnya dan nilai bawah 50 menunjukkan keadaan yang merosot atau sentimen lebih pesimistik berbanding dengan bulan sebelumnya.

    Dari segi sektor ekonomi, lapan daripada 11 sektor mencatatkan sentimen yang pesimistik dengan indeks di bawah paras 50.

    Penguncupan keadaan perniagaan yang terbesar direkodkan dalam sektor harta tanah dan pemilikan kediaman, diikuti dengan pembinaan, dan hotel dan restoran.

    Antara sebab-sebab kemerosotan termasuk bulan Februari yang lebih singkat, pemendekan waktu operasi dan juga penutupan sementara perniagaan-perniagaan disebabkan oleh kes-kes COVID-19 di kalangan pekerja.

    Sentimen optimistik dicatatkan hanya dalam dua sektor ekonomi bagi Februari 2022 iaitu minyak dan gas serta yang berkaitan, dan pengangkutan dan komunikasi. Sektor kewangan dan insurans pula melaporkan keadaan perniagaan yang lebih kurang sama dengan Januari 2022.

    Keadaan perniagaan Februari 2022 mengikut sektor adalah minyak dan gas serta yang berkaitan mencatatkan BSI 50.2; pembuatan (49.9); pembinaan (49.7); perdagangan borong dan runcit (49.9); pengangkutan dan komunikasi (50.1); pertanian, perhutanan, perikanan dan ternakan (49.8); kewangan dan insurans (50.0); harta tanah dan pemilikan kediaman (49.6); hotel dan restoran (49.7); kesihatan dan pendidikan (49.8); dan perkhidmatan lain (49.8).

    Dari segi indeks keadaan perniagaan mengikut saiz perniagaan, secara amnya, hanya perniagaan bersaiz mikro sahaja yang telah menunjukkan sentimen yang optimistik pada Februari 2022. Kebanyakan perusahaan kecil mengalami keadaan perniagaan yang sama pada Februari 2022 berbanding dengan bulan sebelumnya.

    Perniagaan bersaiz sederhana dan besar pula, secara amnya, melaporkan penguncupan dalam keadaan perniagaan oleh kerana penjualan dan operasi perniagaan yang terjejas akibat gelombang ketiga wabak COVID.

    Keadaan perniagaan Februari 2022 mengikut ukuran adalah mikro (50.1); kecil (50.0); sederhana (49.7); dan besar (49.8).

    Untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci mengenai BSI, orang ramai boleh merujuk kepada nota teknikal mengenai metodologi dan statistik di laman web BDCB di https://www.bdcb.gov.bn. Perkembangan mengenai BSI juga akan dikongsikan melalui akaun Instagram BDCB @centralbank.brunei.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...