Ulangi ujian swab jika hendak keluar Brunei

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Ujian SARS-CoV-2 di makmal kerajaan pada masa ini meningkat mendadak dan timbulnya kelambatan untuk mendapatkan keputusan-keputusan ujian tersebut.

Sehubungan itu, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam kenyataannya semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam pada hari ini memohon orang ramai supaya bersabar dan memberikan kerjasama untuk tidak pergi sendiri ke makmal bagi mendapatkan keputusan ujian.

“Makmal adalah tempat terkawal dan berisiko tinggi bagi sebarang jangkitan,” tekan Yang Berhormat Dato.

Oleh yang demikian, bagi mereka yang akan meninggalkan Negara Brunei Darussalam dan telah menjalani ujian swab dalam masa tiga hari kebelakangan serta belum mendapat keputusan ujian swab, mereka dinasihatkan supaya mengulangi ujian tersebut.

“Mereka tidak akan dikenakan bayaran tambahan,” tambah Yang Berhormat Menteri Kesihatan.