Ular ‘mengawan’ paksa taman rekreasi ditutup

WASHINGTON, 16 FEB – Sebahagian taman rekreasi di Florida terpaksa ditutup selepas penduduk tempatan menemui puluhan ular berkumpul sempena musim mengawan tahunan haiwan reptilia itu.

Jabatan Taman dan Rekreasi Lakeland, dalam paparan di laman Facebook mereka yang turut memaparkan gambar kumpulan ular berkenaan di Tasik Hollingsworth, Orlando, berkata haiwan berkenaan berkumpul untuk mengawan.

Khamis lalu, pihak berkuasa menutup kawasan di mana ular berkenaan ditemui demi keselamatan orang ramai dan haiwan itu sendiri.

“Ular jenis ini tidak berbisa dan tidak agresif selagi tidak diganggu sesiapa, apabila selesai mengawan, mereka akan bersurai.

“Ular ini adalah daripada spesies ular air Florida dan habitat mereka adalah di dahan pokok berhampiran sumber air serta boleh juga ditemui di kawasan tebing sungai atau tasik. – AFP