Ular sawa berjaya ditangkap dalam enjin kereta

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan JBP

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 APRIL – Kecekapan anggota bomba dan penyelamat wanita mendapat pujian daripada orang ramai apabila mereka berjaya menangkap seekor ular sawa yang berada dalam enjin kereta dalam kejadian di Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Jalan Menteri Besar, hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit Perhubungan Awam, Cawangan Operasi C, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, sebuah jentera bersama lima orang anggota bomba dan penyelamat yang diketuai oleh ASO Hajah Habyah binti Haji Ya’akub dari Balai Bomba Operasi Wanita dikejarkan ke tempat kejadian.

Apabila tiba di tempat kejadian berkenaan, anggota yang bertugas mendapati seekor ular sawa berukuran dua meter panjang berada di dalam enjin kereta kepunyaan JIPK di luar kawasan bangunan.

Ahli-ahli bomba wanita bertindak untuk menangkap ular berkenaan dengan menggunakan alat menangkap ular.

JBP menyarankan orang ramai untuk melaporkan kepada pihak JBP jika ternampak binatang liar berkeliaran di kawasan rumah atau premis bangunan serta jangan sesekali menghampiri atau berhasrat untuk mengancam binatang berkenaan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Orang ramai juga disarankan jika berlaku sebarang insiden kecemasan hendaklah berhubung terus kepada Pusat Gerakan JBP melalui talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.

Ahli bomba wanita dengan cekap menangkap ular yang berada dalam enjin kereta dalam kejadian di luar bangunan JIPK kelmarin.
Ahli bomba wanita semasa kejadian menangkap ular.