Ular sawa intai kambing ditangkap

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 NOV – Penternak kambing mendapat kejutan apabila seekor ular sawa berukuran 5 meter ditemui dalam kandang kambing pada kejadian insiden gangguan binatang liar di Kampung Kasat, hari ini.

Menurut kenyataan dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, hari ini, empat orang anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Sungai Kebun diketuai oleh ABK 533 Muhd Muzri Adlee bin Haji Umar dikejarkan ke lokasi.

Apabila sampai di tempat panggilan, anggota bomba dan penyelamat mendapati seekor ular sawa berada di dalam kandang kambing dengan ular itu berukuran kira-kira 5 meter panjang dan 20 sentimeter lilitan.

Anggota bomba dan penyelamat segera bertindak menangkap ular itu menggunakan snake catcher. Ia seterusnya dilepaskan ke habitatnya di kawasan yang jauh dari tempat kawasan perumahan bagi memastikan keselamatan orang awam daripada bahaya.

JBP menyarankan orang ramai agar jangan sesekali menghampiri atau berhasrat mengancam binatang berkenaan bagi menggelakkan kejadian yang tidak diingini serta memastikan pintu rumah atau bangunan dan jendela dalam keadaan tertutup jika tidak berada di rumah bagi menggelakkan binatang-binatang liar seperti anjing liar, ular, buaya dan monyet memasuki rumah mereka.

JBP juga menyatakan bahawa reban ayam, itik atau kandang binatang peliharaan boleh menarik perhatian binatang liar seperti ular, oleh itu, persekitaran rumah dan reban dalam keadaan bersih dan teratur.

Anggota JBP berjaya menangkap ular sawa berukuran kira-kira 5 meter panjang di Kampung Kasat. – Gambar serahan JBP