Wednesday, April 24, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Ular sawa muncul di longkang rumah

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar fail serahan JBP

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MEI – Penghuni sebuah rumah di Kampung Salambigar, telah dikejutkan dengan kehadiran seekor ular sawa berukuran kira-kira tiga meter panjang yang ditemui dalam longkang kawasan rumahnya, kelmarin.

    Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), hari ini, enam anggota bomba dan penyelamat tiba bersama sebuah jentera dari Balai Bomba Lambak Kanan yang diketuai oleh ABK 150 Abdul Rahman bin Haji Edin, di tempat insiden pada jam 9:53 malam.

    Anggota bomba bertindak menangkap ular tersebut menggunakan snare catcher yang kemudian melepaskannya ke kawasan yang jauh dari perumahan.

    Menurut JBP, peningkatan penangkapan ular semakin meningkat bagi spesies ular tedung dan ular kapak di negara ini.

    Meskipun dua orang anggota bomba pernah tercedera semasa membantu orang awam menangani insiden sebegini pada 2020 serta telah pulih tanpa mengakibatkan korban jiwa, ia adalah satu tugasan yang sangat berisiko tinggi walaupun anggota telah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan memakai PPE yang dibekalkan serta latihan yang betul.

    JBP menyarankan kepada orang ramai supaya jangan sesekali menghampiri atau berhasrat untuk mengancam binatang liar berkenaan bagi menggelakkan berlaku kejadian yang tidak diingini serta memastikan pintu rumah atau bangunan dan jendela dalam keadaan tertutup jika mereka tidak berada di rumah bagi menggelakkan binatang-binatang seperti anjing liar, ular, buaya dan monyet memasuki rumah mereka.

    JBP juga menyatakan bahawa reban ayam, itik atau kandang binatang peliharaan boleh menarik perhatian binatang liar seperti ular dan oleh itu, mereka harus memastikan persekitaran rumah dan reban adalah dalam keadaan bersih dan teratur.

    Di kesempatan itu, jabatan itu turut menyediakan program keselamatan seperti Kursus Marsyal Bomba, Kursus Life Saver 995 dan Taklimat Keselamatan Kebakaran bagi mengetahui aspek-aspek keselamatan semasa menangani kecemasan serta mengetahui tatacara yang betul bagi penggunaan alat pemadam api.

    Orang ramai turut disarankan bahawa jika berlaku sebarang insiden kecemasan, mereka hendaklah berhubung terus ke talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.

    Antara spesies ular yang pernah ditangkap oleh anggota bomba.
    Gambar hiasan menunjukkan anggota bomba dan penyelamat menangkap seekor ular sawa, baru-baru ini. – Gambar fail serahan JBP

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...