Ular tedung jadi ‘selebriti’

RIO DE JANEIRO, 26 JULAI – Seekor ular tedung yang menggigit seorang pelajar veterinar di Brazil, menyebabkannya koma, telah menjadi selebriti dengan mencetuskan satu siasatan dalam sindiket penyeludupan haiwan eksotik.

Ular tedung itu, boleh didapati di Asia, menggigit Pedro Krambeck Lehmkuhl, 22 tahun, pada 7 Julai di Brasilia, mendorong doktor mencari penawar bisa yang sesuai – amat jarang didapati di Brazil sehingga satu dos terpaksa dihantar dari Sao Paulo.

Persoalan mengenai bagaimana ular itu berakhir di apartmen pelajar telah mencetuskan siasatan polis yang menemui 16 ekor haiwan lain di bangunan milik seorang kawan Lehmkuhl, serta tiga ekor ikan yu, tujuh ular lain, seekor belut Moray dan cicak Tupinambis di sebuah bangunan lain.

Setakat ini, siasatan telah membawa kepada pemecatan dua pegawai dalam agensi pengawal alam sekitar Brazil, IBAMA, disyaki mereka bersubahat dalam pengeluaran permit import palsu untuk sindiket penyeludupan hidupan liar.

Ibu dan bapa tiri pelajar, seorang kolonel polis, juga disoal dan didenda 8,500 reals setiap seorang atas dakwaan menghalang siasatan polis.

Lehmkuhl, yang menghabiskan enam hari di hospital, dibenarkan keluar dan didenda 61,000 reals. Beliau masih disiasat. Ular tedung itu, ‘Naja’ dalam Bahasa Portugal, sementara itu telah menjadi sensasi internet, selepas ditemui berhampiran sebuah pusat membeli-belah di mana ia didakwa ditinggalkan oleh seorang kawan Lehmkuhl yang cuba menghapuskan bukti.

Satu akaun Twitter yang dibuka dalam nama ular @najaoriginal, mempunyai hampir 50,000 pengikut. – AFP