DARWIN, 2 Mei – Pihak berkuasa hidupan liar Australia membuat penemuan luar biasa (gambar bawah), apabila menjumpai seekor ular bermata tiga berhampiran bandar Darwin, lapor laman berita Singapura, Channel News Asia (CNA), hari ini.
Haiwan reptilia pelik itu ditemui beberapa renjer di Lebuh raya Arnhem berhampiran Humpty Doo, menurut Suruhanjaya Taman Wilayah Utara dan Hidupan Liar dalam muat naik di Facebook, semalam.
Imbasan sinar-X menunjukkan ular sepanjang 40 sentimeter itu mempunyai satu tengkorak dengan satu soket mata tambahan. Semua tiga mata haiwan itu berfungsi dengan baik.
“Pakar bersetuju mata itu mungkin terbentuk, ketika peringkat awal pertumbuhan dalam embrio. Ia bukan disebabkan faktor alam sekitar dan insiden reptilia cacat adalah sesuatu yang biasa,” menurut suruhanjaya itu.
Pihak berkuasa hidupan liar memaklumkan kepada BBC bahawa ular itu berdepan kesukaran untuk makan kerana kecacatannya. – Agensi