Ular tiga meter ditangkap

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Ular sepanjang tiga meter berjaya ditangkap oleh anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Bangar di kawasan Masjid Kampung Puni, Daerah Temburong pada 25 Jun lalu setelah menerima panggilan mengenai insiden gangguan haiwan liar.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), hari ini, tiga anggota bomba yang diketuai oleh ABKS 32 Tan Hoi Lim itu tiba di tempat kejadian dan mendapati seekor ular sawa berukuran kira-kira tiga meter panjang berada di dalam longkang di hadapan masjid tersebut.

Ular tersebut berjaya ditangkap menggunakan peralatan snare catcher dan seterusnya dilepaskan ke habitatnya di kawasan yang jauh dari tempat kediaman awam.

JBP menyarankan agar orang ramai memastikan persekitaran rumah mereka dalam keadaan bersih dan teratur, memastikan pintu rumah dan jendela dalam keadaan tertutup semasa tidak berada di rumah.

Ini adalah kerana bagi menggelakkan binatang-binatang liar seperti anjing liar, ular, buaya dan monyet memasuki rumah mereka serta dinasihatkan untuk tidak sesekali menghampiri atau berhasrat untuk mengancam haiwan-haiwan tersebut bagi menggelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Orang ramai juga disarankan jika berlaku sebarang insiden kecemasan agar menghubungi terus talian kecemasan 995 dengan memberikan maklumat yang tepat.

Anggota bomba dan penyelamat berjaya menangkap seekor ular sawa yang berada di dalam longkang di hadapan Masjid Kampung Puni, Temburong pada 25 Jun lalu. – Gambar serahan JBP