Ulawun muntahkan lahar

KOKOPO, 26 JUN – Gunung berapi Ulawun, Papua New Guinea, yang merupakan antara yang paling bahaya di dunia, meletus hari ini, memuntahkan lahar tinggi di udara dan menyebabkan penduduk melarikan diri.

Seorang juruterbang bagi Helikopter Niugini terbang berdekatan kawah bagi melihat pancutan lahar ke udara, bersama dengan abu yang memenuhi udara sejak awal pagi lagi.

Ulawun, terletak di rangkaian Kepulauan Bismarck, tersenarai sebagai salah satu daripada 16 ‘Gunung Berapi Berdekad’ yang disasarkan bagi penyelidikan disebabkan ia mempunyai risiko letusan ganas yang besar.

Para saksi berkata lahar telah memutuskan lebuh raya di utara pulau tersebut.

“Aktiviti gunung berapi di Gunung Ulawun bermula jam 7 pagi waktu setempat selepas bunyi deram-derum dan mengeluarkan sedikit abu,” kata seorang pegawai dari Pejabat Bencana West New Britain, Leo Porikura kepada AFP.

“Jabatan Gunung Berapi Rabaul mengesahkan amaran tahap satu bagi kemungkinan letusan.”

Para saksi melaporkan bahawa abu meluah pada puncak 2,334 meter.

“Langit bertukar hitam,” kata Kingsly Quou, seorang pengurus berdekatan dengan ladang kelapa sawit Mavo Estates.

Quou berkata penduduk kampung yang tinggal di kaki gunung berapi itu sudah dipindahkan dan dia bersama rakan sekerjanya bergegas menyelamatkan barangan mereka. – AFP