Oleh Yusrin Junaidi
Berkat kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam memimpin negara, syiar Islam telah semakin berkembang pesat dan bergerak maju dalam pelbagai aspek di negara ini.
Di bawah kepimpinan Baginda Sultan sebagai pemerintah, ketua negara dan ulil amri berjaya menjadikan negara sebagai Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghafur dan membentuk masyarakat dan penduduk di negara ini berpegang teguh dengan ajaran Islam.
Sebagaimana yang dapat kita lihat dan hayati bahawa Islam sebagai cara hidup dan proses pemantapan Islam diberikan keutamaan dalam semua aspek bernegara, ekonomi, sosial, pendidikan dan lain-lain. Hal ini bukanlah hanya retorik semata-mata, malah dibuktikan dari segi pelaksanaannya meliputi falsafah dan praktik.
Sejak dua tahun kebelakangan ini, lebih ramai penduduk dan warga asing daripada pelbagai warganegara memeluk agama Islam setelah mengenali ajaran Islam di negara ini. Ini kerana pembudayaan Islam turut diterapkan kepada golongan bukan Islam secara langsung dan tidak langsung.
Catatan sejarah banyak membuktikan pemerintahan Negara Brunei Darussalam berlandaskan kerajaan Islam sejak turun-temurun. Jika kita perhatikan, pola Islamisasi di negara ini turut mengimplementasikan pola top-down melalui perkembangan atas-ke-bawah. Oleh itu, syiar Islam berkembang luas dan pantas kerana rakyat, penduduk dan masyarakat kita sangat patuh terhadap Baginda Sultan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga selalu menekankan kepentingan Melayu Islam Beraja (MIB) dalam praktikal kehidupan bermasyarakat dan bernegara di negara ini. Hal ini selaras dengan pembangunan negara ini sebagai pusat dan pengembangan kerajaan Islam Melayu yang makmur.
Kita juga dapat lihat pelbagai pihak berkepentingan, sama ada dalam sektor kerajaan atau swasta dan juga persendirian bersama-sama mendukung hasrat Baginda dan turut serta berganding bahu merealisasikan falsafah negara, seiringan dengan usaha negara untuk mencapai aspirasi Wawasan Brunei 2035.
Dalam temu bual bersama Dr Najib bin Noorashid dari Universiti Brunei Darussalam, mengenai dengan tajuk ulil amri yang menyentuh perkembangan agama Islam di negara ini dua tahun kebelakangan ini, beliau berkata kemampanan pemerintahan Baginda Sultan turut terserlah melalui pembangunan prasarana dan seni bina yang berteraskan ciri-ciri keIslaman dan ia masih dipraktikkan sehingga ke hari ini.
Mercu-mercu tanda dengan seni bina keislaman seperti Masjid Omar Ali Saifuddien dan Istana Nurul Iman yang dibina sekian lama masih dihargai dan dipandang tinggi oleh masyarakat kita dan juga di mata dunia. Usaha menerapkan ajaran-ajaran dan nilai-nilai Islam diterima secara langsung dan ia mempengaruhi bagaimana masyarakat kita menerima relevansi ciri-ciri keIslaman dalam kehidupan seharian.
Kewajiban pendidikan agama Islam terus dipraktikkan sebagai amanah di sekolah-sekolah, institusi-institusi pendidikan dan pihak-pihak berkepentingan di negara ini. Ini tidak pula bererti kerajaan mengabaikan keperluan-keperluan pengetahuan dan pendidikan kontemporari. Contohnya, institusi-institusi pendidikan Islam seperti Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan dan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah juga mengambil berat tentang pendidikan Bahasa Inggeris sebagai memenuhi keperluan komunikasi dan akses kepada globalisasi.
Dalam hal yang sama, kerajaan terus gigih memperkasakan tulisan Jawi dan usaha-usaha untuk mengekalkan tulisan Jawi ini terus dikelolakan oleh pihak-pihak tertentu. Menurut kajian yang penulis jalankan sendiri, banyak ahli-ahli linguistik dalam alam Melayu mengesahkan dan memuji usaha berterusan kerajaan kita dalam mempertahankan tulisan Jawi, jika dibandingkan dengan negara-negara Melayu yang lain. Keseimbangan dalam hal menuntut ilmu pengetahuan kontemporari sentiasa diseimbangkan dengan penghayatan ajaran Islam dan penulisan Jawi di negara ini.
Dr Najib menjelaskan, “Jika kita perhatikan juga, perekonomian dan industri halal negara juga terus berkembang baik. Berdasarkan Laporan Ekonomi Islam Global Thomson Reuters di sepanjang 2018-2019, Negara Brunei Darussalam juga diiktiraf di antara 15 negara teratas dalam 73 buah negara yang mempunyai perkembangan industri halal terbaik.
“Sektor-sektor makanan halal, media dan rekreasi halal dan farmaseutikal serta kosmetik halal kesemuanya mendapat kedudukan 10 teratas.
Brunei turut menduduki tempat ke-12 daripada 135 negara bagi Pembangunan Kewangan Islam pada tahun 2020 ke 2021 dan dijangka terus terjamin pada tahun-tahun mendatang.
“Di bawah kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Negara Brunei Darussalam terus menjana kemajuan ekonomi mampan dan berdaya saing di samping menelusuri etika dan tadbir urus berlandaskan Islam. Imej, penjenamaan dan praktikal keislaman terus dihayati oleh negara, kerajaan dan masyarakat Brunei dan perihal ini terus mendapat perhatian masyarakat antarabangsa,” kata Dr Najib.
Pemantapan ajaran dan praktikal Islam sangat jelas ketika Negara Brunei Darussalam menghadapi pelbagai cabaran berikutan pandemik COVID. Alhamdulillah, kita amat bertuah kerana Kebawah Duli Yang Maha Mulia sebagai ulil amri dan tampuk pemerintahan tertinggi di Negara Brunei Darussalam menekankan Islam sebagai agama penyatu perpaduan dan kedamaian ketika negara berusaha menangani musibah.
Nilai-nilai perpaduan, bertimbang rasa dan kerjasama yang dititikberatkan dalam Islam diterapkan berlipat ganda apabila Baginda menyeru usaha sama daripada pelbagai pihak seperti kerajaan Brunei, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat umum dalam menangani penyebaran COVID melalui kaedah whole of nation approach.
Banyak akhbar-akhbar dan media antarabangsa serta kajian-kajian ilmiah turut mengesahkan keberkesanan pemerintahan dan pentadbiran Baginda Sultan dalam membendung penularan COVID di negara ini.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga mempelopori dan menekankan kepentingan vaksin ketuhanan iaitu zikir, doa, Al-Quran dan juga amalan sedekah sebagai perisai khusus yang dipegang dan digunakan ketika negara dilanda wabak COVID.
Ia juga merupakan inisiatif signfikan bagi rakyat dan penduduk Brunei mendalami dan memahami ajaran Islam, merefleksi diri dan bertindak secara damai.
Makalah-makalah dan bahan bacaan turut dicetak oleh Jabatan Mufti Kerajaan dan informasi serta zikir-zikir terpilih turut disiarkan melalui radio dan televisyen oleh Radio Televisyen Brunei (RTB) menjadi panduan memahami vaksin ketuhanan.
Ketika menangani wabak COVID, peranan-peranan agensi kerajaan juga berkembang, contohnya Jabatan Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) turut serta membantu mengidentifikasi dan menyampaikan amanah kepada golongan rakyat memerlukan bantuan ekonomi.
Terbaharu, kita juga lihat bahawa Unit Kawalan Akidah Brunei turut menyediakan talian perhubungan secara mudah untuk orang ramai mendapatkan maklumat dan membuat aduan mengenai penyelewengan akidah dalam usaha untuk bersama-sama menjaga kemaslahatan hidup bermasyarakat dan bernegara Islam. Kesemua ini merupakan usaha dalam memantapkan perkembangan Islam di negara ini.
Di sebalik kerancakan pihak kerajaan memenuhi segala keperluan dan pendekatan untuk menangani segala kesusahan dan permasalahan yang timbul daripada wabak ini, Baginda Sultan sendiri telah mengepalai seluruh rakyat dan penduduk negara ini untuk tetap bertawakal dan mendekati Allah Maha Pencipta melalui doa dan zikir.
Baginda telah berkenan mengurniakan titah perutusan khas demi untuk meniupkan semangat juang rakyat yang Baginda kasihi, untuk mengekalkan falsafah hidup di negara ini sebagai sebuah Negara MIB yang mengutamakan Maqasid Syari’ah dan reda kepada Allah untuk segala pertolongan dan takdir dariNya.
Melalui titah Baginda juga telah mencetuskan idea agar pihak kerajaan, khasnya melalui Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Pusat Dakwah Islamiah dan juga sekolah tahfiz khususnya dengan kerjasama pihak rtb mengambil peranan untuk menyelenggarakan bacaan Surah Yasin serentak di seluruh negara bersama-sama seluruh rakyat dan penduduk sehingga sekarang. Bermula dari program bacaan surah Yasin ini juga telah mencetuskan beberapa jenis lagi program keagamaan terus menerus dilaksanakan sejak dua tahun kebelakangan ini.
Program Malam Munajat ini yang diadakan pada setiap hari Sabtu malam Ahad di kalangan warga jabatan-jabatan dan masjid-masjid di seluruh negara secara bergilir-gilir juga adalah di antara gagasan Baginda Sultan sendiri. Manakala Program Belia Muallaf (As Syahadah), Belia Daie dan NGO juga tidak ketinggalan komited memohon rahmat dan perlindungan Allah SWT.