Ultra Essence dilantik edar kit ART QuickVue

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 SEPT – Quidel Corporate USA selaku pengeluar kit ujian pantas antigen (ART) QuickVue At-Home OTC COVID-19 telah melantik Ultra Essence Enterprise untuk mengedarkan kit ujian berkenaan di pasaran Brunei.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, QuickVue At-Home OTC COVID-19 adalah jenama paling laris di Singapura dan global. Dengan kit ujian ini, pengguna akan mendapat keputusan dalam masa 10 minit.

Kenyataan menyatakan, kit ujian berkenaan yang telah mendapat kebenaran daripada FDA EUA dan kelulusan Kementerian Kesihatan di negara ini, tersedia dalam dua jenis pembungkusan iaitu dua set kit ujian ART dan 25 set kit ujian ART dalam satu bungkusan.

Penggunaannya adalah menerusi jenis sampel nasal bagi golongan pengguna yang berusia dua tahun ke atas yang mana ujian berkenaan hanya boleh digunakan dua kali dalam dua hingga tiga hari, dengan sekurang-kurangnya 24 jam dan tidak lebih daripda 36 jam antara ujian yang dilakukan.

Bagi pengguna yang berusia dua tahun hingga 14 tahun perlulah dipantau oleh orang dewasa ketika melakukan ujian dan perlu diketahui juga bahawa kit ujian berkenaan mempunyai jangka hayat 24 bulan dari tarikh pembuatan.

Menurut kenyataan, Quidel adalah pengeluar diagnostik terkemuka yang berpangkalan di California yang memfokuskan pada peningkatan kualiti penjagaan kesihatan di seluruh dunia.

Kit ujian QuickVue menggunakan teknologi yang dipercayai selama beberapa dekad oleh profesional penjagaan kesihatan dan menjadikan ujian COVID-19 begitu mudah digunakan dan didapati sehingga mampu mewujudkan kebaikan kepada pengguna seisi keluarga, masyarakat dan dunia amnya.

Sensitiviti daripada kit ujian QuickVue At-Home OTC COVID-19 adalah 83.5 peratus berdasarkan keputusan klinikal daripada gabungan kedua-dua kes bergejala dan tidak bergejala.

Kit QuickVue At-Home OTC COVID-19 yang diedarkan oleh Ultra Essence Enterprise. – Gambar serahan Ultra Essence Enterprise