Umai ‘suka-suka’ tarik penggemar

Oleh Nurdiyanah R.
Gambar serahan Dayang Nur Zafirah

Mungkin ramai juga yang menolak atau tak minat jika ditawarkan hidangan umai kerana sebilangannya memikirkan hidangan umai itu sejenis sajian yang dihidangkan mentah seperti susyi namun ia sebenarnya telah masak secara semula jadi meskipun tidak dimasak menggunakan gas dapur.

“Gabungan pelbagai ramuan perapan seperti jus limau kasturi, lada padi, garam, bawang merah yang digaul bersama makanan laut mentah dan segar seperti udang, sotong, ikan dan lainnya telah menjadikan ia masak secara semula jadi tanpa perlu memasaknya terlebih dahulu,” kata Dayang Nur Zafirah @Filzah binti Jawdi @Haji Abu Bakar semasa mengongsikan mengenai produk jualannya dalam talian di bawah nama ‘theumaiumai.bn’.

Menurutnya lagi, tindak balas daripada hasil perapan ramuan itulah menjadikan isi makanan laut berubah daripada warna putih contohnya udang menjadi kemerah-merahan yang menandakan ia telah masak setelah disimpan dalam peti sejuk selama dua hingga tiga jam.

“Alhamdulillah kini tempahan semakin memberangsangkan dari hari ke hari terutamanya umai udang kian menjadi pinangan hangat dan tidak kurang juga tempahan bagi jenis umai yang lain antaranya umai kerang dan umai pusu,” katanya penuh kesyukuran.

Kekalkan kualiti hidangan umai

Mengimbas kembali detik sebelum memulakan perniagaan secara sampingan sejak tahun 2017 lagi, Dayang Nur Zafirah berkongsi bahawa penglibatan awalnya dalam menghasilkan hidangan umai hanya untuk ‘suka-suka’ yang disajikan semasa acara keramaian dalam kalangan ahli keluarga terdekat sahaja.

Sentuhan kombinasi tiga rasa masam, pedas dan masin sememangnya tidak dapat dipisahkan dengan hidangan umai.
Dayang Nur Zafirah ketika menjual produk umainya semasa menyertai salah sebuah bazar sempena bulan Ramadan baru-baru ini.

“Namun sungguh tidak disangka, hidangan itu menepati cita rasa keluarga dan mendapat sokongan yang tidak putus-putus daripada insan-insan sekeliling maka dari situlah saya memberanikan diri untuk menceburi bidang perniagaan ini secara kecil-kecilan selain dapat menjana hasil pendapatan sampingan,” tambahnya lagi yang menawarkan produk jualannya dalam anggaran antara $4 hingga $8 mengikut timbangan gram tertentu.

Beliau yang kini berusia 28 tahun itu turut mengongsikan mengenai penyediaan hidangan umai yang tidak begitu rumit malah begitu ringkas serta bahan-bahannya juga mudah didapati, alami serta sihat.

“Dalam proses penyediaannya, penekanan terhadap nilai-nilai kualiti adalah segalanya bagi saya. Semua makanan laut seperti udang dan kerang perlu dibuang kulit dan dibersihkan terlebih dahulu, sebelum dilakukan sesi perapan.

“Kombinasi dan keseimbangan tiga rasa iaitu masam, pedas dan masin menjadi pelengkap selera si penggemarnya apabila dinikmati bersama nasi panas atau pun dimakan begitu sahaja.

“Ia sungguh menyelerakan dan peminat tegar pasti tidak akan cukup satu pinggan,” ujarnya dengan nada ceria semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata, baru-baru ini.