Umat Islam di selatan Thailand sambut Rayo Nae

PATTANI, 12 JUN – Umat Islam di selatan Thailand hari ini menyambut Raya Enam atau lebih dikenali sebagai ‘Rayo Nae’ dengan menziarahi kubur kaum keluarga dan membaca kitab suci Al-Quran beramai-ramai.

Rayo Nae merupakan sambutan turun temurun umat Islam di Pattani, Yala, Narathiwat dan empat daerah di Songkhla iaitu Chana, Saba Yoi, Thepha dan Na Thawi selepas selesai mengerjakan puasa enam hari berturut-turut mulai 2 Syawal.

Bersama anggota keluarga masing-masing, mereka mengambil peluang untuk menziarahi dan membersihkan kubur kaum keluarga.

Seorang ustaz dari Sekolah Agama Di Daerah Chana, Songkhla, Abdul Shukur Safie berkata membaca Al-Quran di tanah perkuburan beramai-ramai telah menjadi satu amalan di kalangan penduduk tempatan pada Raya Enam. – Bernama