Umat Islam diseru jauhi penyalahgunaan dan pengedaran dadah

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Agama Islam mengajarkan umatnya supaya sentiasa memelihara nyawa, agama, akal fikiran, harta dan keturunan dan melarang mendekati perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada kelima-lima perkara tersebut.

Antara perkara-perkara yang boleh mendatangkan mudarat dan di larang dalam Islam adalah seperti meminum arak, berzina, berjudi, memakan riba, rasuah, penyalahgunaan dadah dan seumpamanya.

Khatib menekankan perkara tersebut semasa menyampaikan khutbah Jumaat yang bertajuk ‘Menentang Penyalahgunaan dan Pengedaran Dadah’ hari ini dan seterusnya menjelaskan, setiap larangan untuk mendekati perbuatan itu mempunyai alasan dan hikmahnya tersendiri dan salah satu perbuatan yang dilarang untuk didekati ialah menyalahgunakan dadah.

Perlu diketahui penyalahgunaan dadah adalah dilarang dari segi syarak mahupun undang-undang negara ini, tegas khatib, ini kerana perkara tersebut boleh mendatangkan kesan negatif yang boleh memudaratkan diri sendiri, keluarga dan juga masyarakat.

Khatib seterusnya menekankan bahawa mencampakkan diri ke arah sesuatu perkara yang membawa kebinasaan dan kemudaratan serta perkara yang sia-sia adalah semata-mata mengikuti kehendak hawa nafsu tanpa menggunakan akal fikiran yang waras yang dikurniakan oleh Allah SWT dan sudah setentunya akan membawa kepada kehancuran.

Selain daripada itu, khatib juga menekankan bahawa anak-anak merupakan kurnia dari Allah SWT kepada kita. Ia adalah amanah dan ujian dari Allah SWT yang mesti dijaga dengan sebaik-baiknya.

“Ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang sangat besar dan peranan yang sangat penting dalam mencorak dan menterbiyahkan mereka supaya tidak terjerumus dan terlibat dalam aktiviti serta kegiatan yang tidak sihat, tidak bermoral dan menyalahi undang-undang khususnya penyalahgunaan dan pengedaran dadah,” jelasnya.

Selain itu, ibu bapa dan penjaga juga berperanan mengasuh anak-anak supaya mempunyai akhlak dan keperibadian mulia selaku masyarakat, kita juga memainkan peranan yang sangat penting dan menentang dan membanteras isu penyalahgunaan dan pengedaran dadah.

Mereka yang telah terlanjur dan terlibat dengan penyalahgunaan dadah, tambah khatib, perlu diberikan sokongan dan motivasi serta jangan di sisihkan apabila mereka menjalani proses pemulihan.

“Sebagai sebuah masyarakat, ia adalah tanggungjawab kita untuk memberikan bimbingan, ruang dan peluang kepada mereka untuk berubah dan kembali ke pangkal jalan,” tambahnya.

Penyalahgunaan dan pengedaran dadah adalah punca penyakit sosial yang semakin menular di setiap negara yang boleh membantutkan pembangunan ekonomi bangsa dan negara.

Sehubungan itu, marilah sama-sama meningkatkan kesedaran dan kefahaman bahaya penyalahgunaan dan pengedaran dadah serta berusaha mengawal dan mencegah dari memusnahkan anak bangsa.

“Masyarakat hendaklah bersatu padu dan bersatu hati dalam menentang dan memerangi penyalahgunaan dadah dengan mengamalkan ajaran Islam yang sebenar iaitu mentaati perintah Allah serta menjauhi larangannya”, tambahnya.