Umat Islam diseru sentiasa perbanyakkan zikir

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 SEPT – Sebagai orang Islam kita diseru untuk sentiasa mengingati Allah SWT dengan memperbanyakkan zikir bagi memberikan ketenangan diri terutama semasa mempunyai kelapangan berada di rumah.

Pesanan tersebut disampaikan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman semasa memberi peringatan kepada orang ramai untuk teranah di rumah dan mematuhi prosedur standard operasi (SOP).

Selain itu, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama turut menyeru untuk memperbanyakkan doa, istigfar dan memohon keampunan daripada Allah SWT dengan bertaubat atas segala dosa-dosa dan maksiat serta bertekad tidak akan mengulanginya.

Yang Berhormat Dato juga menekankan kepentingan berzikir semasa situasi pandemik yang dihadapi sekarang di mana ia mampu memberikan ketenangan dan dapat membersihkan hati dan jiwa, menghilangkan keresahan, kebimbangan dan kelalaian, menambah rasa cinta dan syukur kepada Allah SWT, mendapatkan ganjaran yang besar dan darjat yang tinggi di sisi Allah SWT, memperoleh keberuntungan dan kebahagiaan dalam kehidupan dan menyelamatkan diri daripada azab api neraka.

Banyak cara untuk berzikir kepada Allah SWT seperti tahlil, tahmid, tasbih, asmaul husnaa dan lain-lain. Orang Islam juga diseru untuk merenungkan tanda-tanda kebesaran dan keagungan Allah SWT dan hati mengakui dan membesarkan keagungan dan kebesaran-Nya, menggunakan anggota tubuh badan dengan mempergunakan segala kekuatan dan kemampuan fizikal untuk mentaati perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya.

Selain itu, Yang Berhormat Dato turut memetik sabda Rasulullah SAW, yang bermaksud, “Barangsiapa yang melazimi istigfar, Allah menjadikan untuknya bagi setiap kesempitan itu jalan keluar setiap kebimbangan itu kelapangan dan Allah juga mengurniakan kepadanya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka,” (hadith riwayat Abu Daud).

Pada akhir ucapannya, beliau mendoakan agar Allah SWT akan terus menerus menganugerahkan kepada kesihatan untuk semua, rezeki yang halal, umur yang penuh keberkatan dan keselamatan di dunia dan akhirat.