Umat Islam perlu teguhkan akidah

SANDAKAN, 27 Mac – Umat Islam perlu sentiasa berpegang teguh dengan akidah yang satu di negara ini iaitu pegangan Ahli Sunah Waljamaah yang merupakan suatu konsep yang sangat sesuai dalam konteks negara dan negeri ini, kata Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman.

Dia berkata fahaman itu berjaya menyatupadukan umat Islam di rantau nusantara ini seterusnya mengelak radikalisme dan ekstremisme daripada menguasai pemikiran dan tindakan.

“Akidah adalah aspek yang sangat penting untuk kita mengekalkan keamanan seterusnya menolak sebarang fahaman yang menyeleweng dan menyimpang daripada pegangan Ahli Sunah Waljamaah,” katanya ketika merasmikan Seminar Akidah bertemakan Keamanan Elak Radikalisme dan Ekstremisme Agama hari ini.

Seminar sehari itu untuk siri ketiga selepas Tawau dan Kunak pada tahun ini dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah.

Mengulas lanjut, Musa berkata fahaman Ahli Sunah Waljamaah menekankan antaranya kepentingan menjaga ukhuwah dan silaturahim.

Musa berkata hakikatnya, sejarah membuktikan bahawa perselisihan dan perbalahan telah banyak membawa kesan negatif yang sekali gus menghakis keupayaan intelektual seseorang.

Katanya kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah memperkenalkan konsep kesederhanaan atau ‘wasatiah’.

Katanya konsep kesederhanaan itu haruslah diterjemahkan secara positif dan meluas dalam pentadbiran dan amalan seharian sesuai dengan konteks masyarakat majmuk.

Musa berkata pendekatan ini juga harus menjadi pemangkin dalam memacu kejayaan dan kecemerlangan ummah dan rakyat pada umumnya dalam pelbagai bidang. – Bernama