Umat Islam sambut Ramadan dalam keadaan berkurung

JAKARTA, 24 APRIL – Umat Islam di seluruh dunia menyambut Ramadan, hari ini, dalam keadaan berkurung akibat penularan wabak COVID-19 yang menyaksikan solat berjemaah dan perhimpunan keluarga secara beramai-ramai dilarang untuk kali pertama.

Namun, situasi sebaliknya yang berlaku di beberapa negara telah mencetuskan kebimbangan akan risiko peningkatan kes jangkitan virus berkenaan.

Tahun ini, bulan mulia itu diraikan dalam suasana suram di Asia, Asia Barat dan Afrika Utara, bersama penguatkuasaan larangan untuk menunaikan solat berjemaah di masjid atau rakan taulan serta sanak-saudara berkumpul untuk berbuka puasa.

Bagi suri rumah di Indonesia, Fitria Famela, Ramadan kali ini terasa amat berbeza dan tidak meriah.

“Saya sedih kerana tidak dapat pergi ke masjid, namun apa yang boleh dilakukan? Dunia sudah lain sekarang,” katanya.

Jemaah lelaki dilihat membaca Al-Quran sambil memakai penutup muka dan hidung sebagai langkah berjaga-jaga mencegah koronavirus semasa hari pertama bulan suci Ramadan di sebuah masjid di wilayah Aceh, Indonesia pada 24 April. – AP

Namun, sesetengah pemimpin agama di Asia yang menempatkan hampir satu bilion penduduk Muslim di dunia, menepis ketakutan mengenai penularan wabak itu.

Pertubuhan Islam utama di wilayah Aceh menolak perintah nasional untuk penduduk berkurung.

Beberapa ribu jemaah menunaikan solat di masjid terbesar di ibu kota, Banda Aceh, walaupun jumlah itu kurang berbanding biasa.

“Saya tidak bimbang kerana saya ada memakai topeng muka serta menjaga jarak dengan jemaah lain,” kata seorang daripada mereka, Cut Fitrah Riskiah.

Di Bangladesh, ulama menolak usaha untuk mengurangkan bilangan umat Islam ke masjid.

Masjid di Pakistan pula dipenuhi umat Islam yang menunaikan solat berjemaah tanpa menekankan aspek penjarakan sosial.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, pula akur dengan keadaan ketika ini walaupun tidak dapat meraikan Ramadan bersama-sama enam anak dan 18 cucunya.

“Ini adalah kali pertama dalam hidup, saya tidak dapat pergi ke masjid.

“Namun, kita mesti menerima dan akur kepada peraturan penjarakan sosial untuk melindungi nyawa kita,” katanya kepada AFP.

Di Indonesia, kebimbangan terhadap risiko peningkatan kes jangkitan apabila berjuta-juta penduduk pulang ke kampung halaman pada akhir Ramadan, menyebabkan negara terbabit menguatkuasakan larangan aktiviti bermudik tahunan itu.

Selain itu, Kerajaan Indonesia mengumumkan larangan sementara ke atas semua perjalanan laut dan udara.

Penduduk Jakarta, Erik Febrian, berkata beliau memastikan dirinya terus berhubung dengan ibu bapa melalui panggilan video menggunakan komputer.

“Melalui teknologi, saya boleh membuat panggilan video dengan ibu bapa setiap hari ketika Ramadan dan memantau kesihatan mereka,” katanya. – AFP