Umat Islam wajib berilmu

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 April – Ilmu pengetahuan agama adalah sangat penting bagi menjamin kesejahteraan hidup manusia di dunia dan di akhirat.

Menghadiri majlis ilmu dan mempelajari ilmu darinya merupakan perkara yang dituntut sepanjang hayat, tidak ada istilah terlambat, selagi hayat dikandung badan.

Oleh itu, setiap orang Islam wajib berusaha mempelajari ilmu, sama ada secara rasmi atau tidak rasmi, sekurang-kurangnya sekadar mengesahkan akidah dan ibadatnya serta mengetahui yang mana halal dan yang mana haram, bagi memastikan segala urusan hidup yang dijalankan adalah menepati hukum syarak dan diredai Allah SWT.

“Hadirkan diri mu dalam majlis ilmu sama ada di masjid, surau atau sebagainya kerana orang yang menghadiri majlis ilmu ini akan memperoleh banyak kelebihan yang disediakan oleh Allah, antaranya dipermudahkan jalan ke syurga.

“Menghadiri majlis ilmu adalah jalan untuk mendapatkan rahmat Allah SWT, dari itu, para jemaah adalah digalakkan untuk mengetahui setiap keistimewaan ketika menghadiri Majlis Ilmu kerana ianya dapat mencari penawar masalah dunia, dengan itu rebutlah peluang walaupun sesaat.”

Perkara itu diketengahkan Mufti Besar Masjid Agung Pusat Islam Riau, Indonesia, Dr H Mawardi M Saleh semasa Majlis Ilmu anjuran Jawatankuasa Takmir Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar yang berlangsung selepas solat Subuh di masjid berkenaan hari ini.

Hadir pada majlis keagamaan berkenaan ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar bersama kira-kira 200 orang jemaah dan ahli jawatankuasa takmir masjid tersebut.