Bukan sedikit usaha diambil Ummi Nazeera sebaik ditawarkan membawa watak Hayfa dalam drama Risik Pada Hati yang disifatkannya cukup berat.
Watak isteri yang mahu menjodohkan suami dengan wanita lain gara-gara tidak dikurniakan zuriat, mencabar minda Ummi, apatah lagi dia kini berstatus isteri dan memiliki anak.
Ummi, 31, bersyukur sambutan positif diterima daripada penonton selepas episod akhir drama Risik Pada Hati, baru-baru ini.
“Alhamdulillah, saya sangat gembira melihat maklum balas yang sangat bagus. Ini bermaksud penonton boleh terima (lakonan saya).
“Apabila melihat maklum balas penonton yang menyaksikan episod, saya terharu. Lakonan Ummi yang membawa watak Hayfa dalam drama Risik Pada Hati mendapat reaksi positif penonton.

“Terima kasih kepada pasukan Risik Pada Hati, pengarah, Pali Yahya kerana memberi kepercayaan kepada saya membawa watak Hayfa dan membantu saya di set penggambaran,” katanya kepada wartawan.
Ummi berkata, sebaik skrip diterima, dia sudah menjangka watak Hayfa berat untuk dibawa.
“Kami melakukan kerja penggambaran pada Ramadan. Jadi, untuk mendapatkan emosi dan menitiskan air mata, memang mencabar. Namun, Alhamdulillah, kami berjaya melakukannya,” katanya.
Ummi atau nama sebenar, Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainal Abidin berkata, bagi memastikan karakter Hayfa ‘hidup’, dia mendapatkan khidmat aktres veteran dan guru lakonan, Fatimah Abu Bakar selama dua hari.
“Hayfa yang membawa cerita ini, jadi, karakternya berat. Disebabkan risau dan mahu melakukannya dengan betul, saya pergi ke kelas lakonan.
“Lagipun, saya sudah lama tidak berlakon selepas melahirkan anak kedua.
“Apabila ditawarkan berlakon drama, saya mahu buat betul-betul,” katanya. Ummi tidak menafikan watak Hayfa sangat mencabar apatah lagi kesengsaraan yang dilaluinya tidak boleh diluahkan melalui air mata. – Agensi