Ummi Nazeera jadi umpan sindiket penipuan

Jadi umpan sindiket penipuan atau scammer, pelakon Ummi Nazeera meminta pengikut laman sosialnya tidak mudah terpedaya dengan taktik yang menggunakan namanya untuk tujuan berkenaan.

Berkongsi mengenai perkara itu, Ummi atau nama sebenarnya Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainal Abidin berkata dia sudah menyedari tentang sindiket sejak beberapa bulan lalu selepas dimaklumkan oleh beberapa peminatnya yang meminta kepastian. Kata Ummi, scammer terbabit cuba menawarkan telefon jenama terkenal secara percuma dengan syarat tertentu.

“Sebenarnya dah beberapa bulan benda ini berterusan. Tak tahu berapa ramai scammer dah gunakan nama saya untuk modus operandi mereka.

“Saya dapat tahu benda ini pun daripada pengikut saya di laman sosial. Mereka mesej bertanyakan kesahihan betul atau tidak.

“Scammer itu pula tawarkan telefon berjenama secara percuma, siapa tak nak. Tapi Alhamdulillah, belum ada yang mesej saya kata kena tipu,” katanya kepada wartawan.

Terdahulu Ummi, 31, memuat naik paparan skrin mesej scammer kononnya ingin memberi telefon berjenama secara percuma kepada mangsa dengan menggunakan nama aktres itu sebagai umpan. Dalam pada itu, pelakon drama siri Korban Kasih ini memberitahu scammer itu juga meminta mangsa untuk memberikan butiran peribadi mereka. Ummi menegaskan dia akan membuat laporan polis terhadap pihak yang mengambil kesempatan itu sekiranya perkara itu masih berterusan.

“Difahamkan, scammer itu juga meminta butiran peribadi kepada mangsa dengan menggunakan nama saya. Buat masa sekarang, saya belum terfikir nak ambil tindakan.

“Tapi kalau mereka berterusan nak aniaya orang dalam keadaan rakyat sedang dalam kesusahan, saya akan buat laporan polis!” ujarnya. – Agensi

Ummi Nazeera memberitahu bahawa dia sudah menyedari kegiatan sindiket sejak beberapa bulan lalu selepas dimaklumkan oleh beberapa peminatnya yang meminta kepastian. – Agensi