Friday, April 19, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Umpan beracun penawar penyakit malaria?

    STOCKHOLM – Kurungan ditutup dengan jaringan stoking wanita dan dipenuhi nyamuk disusun dalam sebuah makmal Sweden. Setiap hari, penyelidik memberi nyamuk makan jus ubi bit dibubuh toksin, sebahagian daripada pelan untuk memerangi malaria.

    Dengan harapan percubaan lapangan ditunda berkali-kali oleh pandemik COVID-19, para penyelidik di Sweden masih percaya mereka telah menemui rahsia kepada kaedah alam mesra untuk menghapus nyamuk spesies Anopheles yang menyebarkan penyakit malaria.

    Mereka begitu yakin sehingga mereka menubuhkan sebuah syarikat dengan tujuan mengubah penemuan mereka kepada alternatif untuk racun perosak yang digunakan untuk membunuh nyamuk sekarang, tetapi juga boleh memudaratkan nyawa manusia dan menjejas alam sekitar.

    Pengkaji Noushin Emami, 44, berseloroh bahawa ia bagaikan memiliki seekor haiwan peliharaan, tetapi tidak seperti haiwan peliharaan, nyamuk berkenaan diperdaya untuk meminum racun daripada cawan besar.

    Nyamuk berkenaan diperdaya disebabkan cecair dibubuh molekul yang membuat manusia dijangkiti malaria amat menyelerakan buat serangga tersebut.

    Noushin Emami memeriksa bekas berisi air dengan larva nyamuk di makmalnya di Universiti Stockholm. – AFP
    Noushin Emami duduk bersebelahan kurungan ditutup dengan jaringan yang mengandungi nyamuk di makmalnya di Universiti Stockholm. – AFP
    Seorang penyelidik menambah jus ubi bit yang mengandungi molekul pada kurungan nyamuk di sebuah makmal di Universiti Stockholm. – AFP

    “Jika kami menambah molekul ini kepada mana-mana larutan lain, kami menjadikan larutan itu amat sedap untuk nyamuk,” kata Emami, pakar biologi jangkitan molekul di Universiti Stockholm.

    “Seperti rasa roti baguette atau piza untuk serangga lapar, yang baru keluar dari ketuhar,” beritahunya kepada AFP.

    Pada Disember, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan 241 juta kes malaria pada 2020, meningkat daripada 219 juta pada 2019, dengan kira-kira 627,000 kematian – 96 peratus di antaranya di Afrika. Kanak-kanak di bawah lima tahun menyumbang kepada kira-kira 80 peratus daripada kematian tersebut.

    Malaria bukan sahaja menyebabkan orang jatuh sakit, mereka yang dijangkiti menjadi lebih tertarik kepada nyamuk yang seterusnya menyebar parasit kepada lebih ramai orang.

    Pada 2017, Emami dan rakan penyelidiknya mendapati ia disebabkan molekul khusus, digelar HMBPP, dilepaskan ketika parasit yang menyebabkan malaria, menyerang sel darah merah tubuh badan.

    Membuka apa yang kelihatan seperti peti sejuk besar yang dikekalkan pada suhu 27 darjah Celsius, Emami menunjukkan rak-rak bekas yang berisi air penuh dengan larva yang menggeliang-geliut, dan kurungan nyamuk yang diubahsuai, yang diberi makan oleh rakan penyelidiknya setiap hari.

    Dengan menambah jus ubi bit – sebagai ganti darah manusia – ‘sejumlah kecil toksin dicampurkan dengan molekul, nyamuk memakannya dan mati,” jelas Emami, seorang profesor madya di Universiti Greenwich di London.

    Matlamatnya juga menggunakan ‘sebatian membunuh yang tidak berbahaya, mesra alam dan senang diperoleh.’

    Lech Ignatowicz, yang bersama Emami menubuhkan bersama Molecular Attraction untuk memperdagangkan penemuan itu, berkata kaedah baharu tersebut mempunyai potensi untuk mengubah kempen membendung penyakit yang disebar nyamuk.

    “Cara paling berkesan untuk membunuh nyamuk masih menggunakan racun perosak, tetapi kami tahu bukan sahaja membunuh nyamuk, tetapi juga serangga lain dan kehidupan lain,” beritahu Ignatowicz kepada AFP.

    Terdapat juga bukti menunjukkan racun perosak menjadi semakin kurang berkesan. Hampir 80 negara melaporkan kepada WHO bahawa nyamuk menunjukkan tentangan kepada sekurang-kurangnya satu daripada empat racun perosak yang biasa digunakan di antara 2010 dan 2019.

    Bukan hanya molekul adalah murah, Ignatowicz berkata kelebihan lain adalah betapa berkesan ia boleh menyasarkan nyamuk.

    “Malah dalam persekitaran amat sesak, hutan atau persekitaran tropika dengan banyak serangga, kami boleh memilih serangga yang ingin kami hapuskan dan tidak menjejas seluruh ekosistem,” kata Ignatowicz.

    Sementara penyelidik menumpu pada malaria, kaedah itu berpotensi digunakan dalam usaha mengawal penyebaran penyakit lain yang disebarkan oleh serangga atau rodensia.

    Langkah seterusnya adalah mula menguji kaedah itu dalam lapangan.

    Anders Lindstrom, penyelidik nyamuk di Institut Veterinar Nasional Sweden yang tidak mempunyai kaitan dengan projek, memberitahu AFP dia ‘optimistik’ mengenai kaedah itu, tetapi berkata banyak yang masih perlu dilakukan.

    “Masalah sentiasa ada. Kawasan yang perlu ditutup dengan jenis perangkap berkenaan untuk mendapatkan kesan adalah besar,” jelas Lindstrom.

    Mana-mana kaedah juga perlu dilaksanakan secara konsisten, yang boleh menjadi sukar di kawasan miskin atau dibelenggu konflik di mana malaria merupakan penyakit biasa.

    “Awda boleh mempunyai kesan yang cepat dalam mengurangkan jumlah nyamuk, tetapi saat awda berhenti, serangga itu akan kembali,” kata Lindstrom. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...