Friday, October 11, 2024
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘UMS perlu jadi pusat ilmu unggul, perkukuh kerjasama dengan industri’

    KOTA KINABALU, 1 OKT – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mahu Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus komited mewujudkan persekitaran pendidikan tinggi yang mampu menjadi pusat ilmu unggul sekali gus menghasilkan graduan berdaya saing dan berinovasi bagi memenuhi keperluan tenaga kerja mahir.

    Hajiji yang juga Pro Canselor UMS berkata hal ini termasuk memperkukuh kerjasama dengan pemain industri dalam aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi.

    Beliau berkata kerajaan Sabah sentiasa membantu UMS ke arah kemajuan dan peningkatan tahap pendidikan tinggi negara selaras dengan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang turut memberi penekanan kepada pembangunan modal insan, selain sektor perindustrian, pertanian dan pelancongan sebagai teras utama dalam memperkasa ekonomi negeri.

    “Kerajaan dan rakyat Sabah amat bangga dengan pencapaian semasa UMS yang telah membantu menjana transformasi pembangunan dalam pelbagai aspek, selain menjadi pusat rujukan terutama di Sabah,” katanya berucap pada Majlis Ikrar dan Aku Janji Sempena Minggu Suai Mesra Sesi 2024/2025 kali ke-30 UMS di Kota Kinabalu, hari ini.

    Sebanyak 4,545 pelajar melanjutkan pengajian di UMS meliputi 14 fakulti di Kota Kinabalu, Sandakan dan Labuan bagi sesi akademik 2024/2025.

    Sementara itu, Hajiji berkata kerajaan Sabah sentiasa menjadikan pembangunan modal insan sebagai keutamaan kerana hanya dengan pendidikan yang baik berupaya mengubah kualiti hidup rakyat sekali gus menyumbang kepada kejayaan serta kecemerlangan negara khususnya Sabah. – Bernama

    Datuk Seri Hajiji Noor (enam, kanan) bersama pensyarah dan penuntut baharu UMS pada Majlis Akujanji dan Ikrar Pelajar UMS di Dewan Canselor UMS, pada 1 Oktober. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda