UMS, SGU kerjasama tangani penyakit tibi

KOTA KINABALU, 10 JULAI – Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Swiss German University (SGU) di Indonesia sedang menjalankan penyelidikan tentang kaedah untuk mengurangkan jangkitan penyakit tuberkulosis (tibi) yang menjadi masalah utama khususnya di Sabah.

Pengarah Institut Penyelidikan Bioteknologi UMS Dr Zarina Amin berkata UMS dan SGU telah memperoleh geran bagi tempoh dua tahun untuk menjalankan penyelidikan itu yang dimulakan sejak enam bulan lepas di makmal ujikaji UMS.

Beliau berkata geran berjumlah RM200,000 hasil sumbangan daripada ‘UMS Matching Grant’ dan ‘Geran Kolaborasi Luar’ dari SGU, juga berjumlah RM200,000, bertujuan membuat penyelidikan dan mengenal pasti sebatian yang menyebabkan tibi.

“Tujuan penyelidikan itu dijalankan adalah bagi mencari kaedah yang efektif bagi mengurangkan jangkitan penyakit tibi di negeri ini memandangkan jumlah pesakit yang menghidap tibi di Sabah sentiasa meningkat,” katanya ketika ditemui pemberita pada Simposium Bioteknologi kali ke-6 anjuran UMS di sini hari ini.

Simposium yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini bertemakan ‘Biotechnology in Sustainable Development Goals’ dirasmikan oleh Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Isnaraissah Munirah Majilis.

Sementara itu, naib pengarah penyelidikan SGU Dr Kholis Abdurachim Audah berkata kolaborasi antara kedua-dua universiti kini berjalan baik dan mereka kini dalam proses untuk mengambil ekstrak bakau untuk diuji ke atas kuman tibi dan denggi. – Bernama