Umum butiran Projek Wireless Walk Miri

MIRI, 18 Julai – Kerajaan negeri perlu mengumumkan butiran lengkap mengenai kerja-kerja menaik taraf projek “Wireles Walk” bernilai RM3.36 juta bagi memastikan projek itu tidak menjejaskan imej pelancongan Bandar raya Miri apabila siap sepenuhnya.

Anggota Parlimen Miri Dr Michael Teo Yung Keng berkata Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri tidak harus tergesa-gesa untuk menyiapkan projek sebelum mendapat maklum balas dari pihak berkepentingan dan menyelesaikan beberapa isu yang diketengahkan kepadanya oleh orang ramai.

“Isu-isu itu ialah seperti kebersihan, kesesakan lalu lintas, keselamatan pejalan kaki,  pengurusan air sisa dan juga banjir kilat di sepanjang jalan,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr Teo menafikan dakwaan pihak tertentu yang salah faham kenyataan  media beliau minggu lepas  yang menyatakan kononnya beliau mahu kerajaan negeri  membatalkan projek tersebut.

“Ia tidak benar, kami hanya meminta perbincangan lebih telus dan terbuka diadakan untuk menunjukkan kepada orang ramai bahawa semua kajian berkaitan telah dijalankan dan kerja-kerja menaik taraf itu tidak akan menjadi satu lagi projek yang membazir,” kata beliau.

Beliau berkata Bandar raya Miri tidak mampu membiayai satu lagi projek membazir yang mencacatkan  pemandangan bandar raya tersebut yang banyak bergantung kepada sektor pelancongan.

Minggu lepas, Dr Teo mencadangkan supaya kerajaan negeri menghentikan kerja-kerja menaik taraf projek  Wireless Walk untuk membolehkan pihak-pihak  berkepentingan menyuarakan kebimbangan mereka.

Dalam pada itu, Menteri Muda Pelancongan,  Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Lee Kim Shin memberi jaminan bahawa projek tersebut tidak akan menimbulkan impak negatif kerana ia memberi penekanan kepada aspek kebersihan.

Kerja-kerja menaik taraf laluan Wireless walk sepanjang 500 meter di Jalan North Yu Seng, Miri bermula pada 9 Feb, 2018 dan dijangka siap menjelang Oktober tahun ini.

Projek itu boleh menempatkan 66 gerai, lima food truck menjual makanan dan minuman serta kemudahan Wifi Jalan North Yu Seng ialah antara jalan paling sibuk di bandar raya ini kerana  banyak  premis hiburan, restoran, hotel dan inap desa beroperasi di kawasan sekitarnya. – Bernama