Umum darurat tujuh hari

BUXTON, AUSTRALIA, 19 DIS – Kecemasan darurat telah diumumkan hari ini di rantau Australia yang paling ramai penduduknya berikutan gelombang panas luar biasa yang mengakibatkan kebakaran tidak terkawal hingga memusnahkan rumah dan kawasan besar bersama asap bertoksik.

Ketika ribuan anggota bomba bergelut memadam kebakaran, suhu kepanasan mencecah 50 darjah Celsius di beberapa tempat dan pihak berkuasa memberi amaran keadaan cuaca ekstrem boleh bertambah buruk.

Australia menghadapi kebakaran hutan setiap tahun namun permulaan tegang pada musim ini bersama suhu mencecah rekod telah memarakkan kebimbangan tentang pemanasan global.

Di New South Wales, negeri paling ramai penduduk di Australia dengan Sydney merupakan bandarnya, lebih 100 kebakaran hutan berlaku hari ini, kebanyakannya tidak terkawal.

Perdana menteri New South Wales, Gladys Berejiklian mengumumkan darurat kecemasan tujuh hari, yang kedua sejak musim kebakaran bermula awal September, disebabkan ‘keadaan cuaca yang menimbulkan bencana’.

Di Buxton, kira-kira 100km barat daya Sydney, Paul Collins penduduk tempatan berkata kebakaran tersebut yang telah memusnahkan puluhan buah bangunan adalah kejadian ‘paling teruk’ daripada tahun-tahun sebelumnya.

“Ia merebak pantas bersama angin dan belukar dan tanah juga kering,” kata Collins kepada AFP, menyalahkan perubahan iklim dan kemarau panjang yang memburuk lagi kebakaran.

Kira-kira 20 buah rumah musnah di New South Wales hari ini, menurut penyiaran negara, ABC.

Sementara itu, kira-kira lima juta orang di Sydney terus terjejas dengan asap daripada ‘kebakaran besar’ yang menyelubungi bandar itu. – AFP

Sebuah rumah musnah dijilat api akibat kebakaran hutan di Balmoral, 150km dari barat daya Sydney pada 19 Disember. – AFP