Oleh Salawati Haji Yahya
Jangan dilihat pada usia tapi nilailah pada semangatnya, itulah kecekalan seorang warga emas berusia 77 tahun, Awang Tinggal bin Lamudin yang mampu mengayuh basikal lebih 2,000 batu demi melaksanakan impian ekspedisi solo Book of Record 2.0 beliau yang tertangguh pada bulan Julai lalu.
Awang Tinggal berjaya menamatkan ekspedisi beliau yang mengambil masa lebih dua minggu bermula dari kampung halaman di Bintulu kemudian melintasi Sarawak, Brunei seterusnya ke Sabah dan berpatah balik melalui tiga negara itu.
Ekspedisi yang diberi nama Book of Record 2.0 itu telah bermula 10 Oktober lalu dan telah menamatkannya pada 1 November baru-baru ini.
Beliau yang mempunyai 10 orang anak dan 22 orang cucu dan seorang cicit ini, mula melibatkan diri dalam sukan berbasikal pada tahun 2019 setelah merasakan sukan ini sesuai dengan dirinya.
Sebelum melibatkan diri dalam sukan berbasikal, beliau juga merupakan seorang pelari yang pernah menyertai larian 42km dan 21km di Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu bagi kategori veteran.
Semasa tiba di negara ini, Awang Tinggal telah dialu-alukan oleh Mejar (B) Pengiran Haji Idrus dan kumpulan kelab berbasikal Negara Brunei Darussalam dan mengiringi beliau menuju ke salah sebuah hotel di Jerudong untuk bermalam di negara ini.
Ketika berkesempatan ditemui di hotel berkenaan baru-baru ini, beliau mengongsikan pengalaman dan cabaran semasa membuat kayuhan yang mana beliau terpaksa berhadapan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu selain berhadapan dengan kerosakan pada basikal beliau.
Walaupun menghadapi masalah dan cabaran, ia tidak mematahkan semangatnya untuk menamatkan misi malah beliau terus mengayuh walaupun dalam keadaan hujan.
Jelas beliau, sepanjang membuat kayuhan itu beliau bersyukur kerana sentiasa dilindungi Allah dan ditemukan dengan orang ramai yang sangat prihatin terhadap beliau.
“Untuk menjayakan ekspedisi ini, perlulah menyiapkan diri dengan niat, mental, fizikal dan keinginan untuk berjaya dan yang paling penting adalah sentiasa berdoa sebelum memulakan kayuhan,” jelasnya.
Beliau sebelum ini telah melakukan ekspedisi berbasikal digelar Book of Record 1.0 iaitu dari Bintulu ke Kuching dan untuk ekspedisi kali ini adalah kayuhan yang paling jauh dilakukan berbanding sebelumnya.
Awang Tinggal berkongsi bahawa sebelum memulakan ekspedisi ini, beliau telah menjaga pola pemakanan untuk memastikan tahap kesihatan dalam keadaan yang baik, kerana ekspedisi kali ini bukan saja kayuhan yang paling jauh tapi terpaksa melalui jalan berbukit dan sebagainya yang mana ini memerlukan ketahanan mental dan fizikal.
Beliau turut mengongsikan cara pengambilan makanan yang dilakukan yang mana beliau mengelak dari memakan makanan yang berkolestrol dan juga makanan pedas, malah beliau lebih suka mengambil makanan yang berkhasiat seperti madu dan juga pisang dan meminum air yang mencukupi bagi mengelakkan kekurangan air dalam badan.
Jelasnya, perjalanan jauh ini memang banyak cabarannya seperti turun naik bukit, malah semasa membuat kayuhan di Kundasang, hanya beberapa kilometer saja dapat mengayuh dan selebihnya lebih banyak terpaksa menolak basikal.
Sepanjang ekspedisi ini, beliau mengalami dua kali roda pancit tetapi ia tidak membuatnya merasa panik kerana setiap kelengkapan dan peralatan basikal telah disiapkan untuk keperluan masa-masa kecemasan.
Kongsinya, ketika mengganti roda basikal buat kali pertama hanya mengambil masa 15 minit tetapi semasa kali kedua mengalami roda pancit di Tamparuli ia mengambil masa yang lama tapi bersyukur kerana orang di sekitar memberikannya pertolongan.
Beliau turut berhasrat untuk melakukan ekspedisi solo Book of Record 3.0 dari Johor ke Perlis untuk ekspedisi seterusnya.
Sebelum mengakhiri pertemuan itu, beliau menasihatkan kepada golongan muda yang ingin melibatkan diri dalam sukan berbasikal ini untuk memiliki hati yang cekal kerana ia perlu memerlukan ketahanan fizikal dan juga mental.