Umur bukan penghalang pamer teknik bermain Beyblade

Oleh Salawati Haji Yahya

Serangan, pertahanan, kestabilan dan stamina merupakan asas dalam pertandingan Beyblade.

Beyblade merupakan sejenis permainan yang menyerupai gasing yang diperkenalkan pada tahun 1990an oleh dua orang pereka, Hiro Morita dan Takafumi Aduchi di Jepun. Nama Beyblade sebenarnya datang daripada gabungan dua perkataan iaitu ‘Beigoma’ (sejenis gasing tradisional Jepun) dan ‘Blade’ (merujuk kepada besi yang tajam untuk bertarung).

Dengan adanya ‘manga’ dan ‘anime’ yang tersendiri, Beyblade menjadi trend yang diminati oleh kanak-kanak pada masa sekarang sehinggakan mereka sanggup mengumpul beberapa buah Beyblade sebagai permainan mahupun koleksi.

Fenomena trend Beyblade sudah tidak asing lagi di negara ini sejak ia mula digemari pada setahun yang lalu. Malah permainan ini bukan saja dimonopoli oleh golongan kanak-kanak, bahkan ia juga telah menarik perhatian golongan dewasa yang tidak melepaskan peluang menunjukkan kehebatan mereka dalam permainan ini.

Pertandingan Beyblade ini tumbuh bagaikan cendawan kerana sambutannya yang sangat memberangsangkan. Melalui pertandingan ini juga secara tidak langsung mampu melahirkan suasana kekeluargaan sekali gus dapat membantu kanak-kanak mengurangkan perhatian dengan penggunaan gajet sahaja.

Permainan ini bukan saja dimonopoli oleh golongan kanak-kanak, bahkan ia juga telah menarik perhatian golongan dewasa yang tidak melepaskan peluang menunjukkan kehebatan mereka dalam permainan ini.
Antara aksi pemain ketika menyertai permainan ini.
Hajah Hartini ketika menguji kemahiran dalam permainan Beyblade.

Beyblade ini juga mampu melatih dan mengasah kemahiran kanak-kanak dalam permainan tersebut. Dengan permainan Beyblade ini juga, ia mampu menggerakkan fizikal kanak-kanak kerana proses sewaktu memainkan Beyblade ini memerlukan mereka memutarkan dengan cara menarik tali (winder) dari pelancarnya (shooter), maka otot sendi mereka bekerja berbanding hanya memegang telefon yang tidak banyak pergerakan.

Konsep permainan Beyblade

Setiap perlawanan Beyblade memerlukan dua orang Bladers (gelaran bagi pemain Beyblade) berlawan sesama sendiri tidak mengira umur, di mana pertarungan ini diadakan dalam format tiga pusingan dengan pemenang ditentukan oleh pihak yang mendapat tiga mata terlebih dahulu.

Mata yang dipungut untuk setiap pusingan ditentukan menerusi beberapa acara dan matlamat utama perlawanan ini ada tiga iaitu menjadi pemilik Beyblade yang berpusing paling lama, menolak pihak lawan keluar dari gelanggang atau yang paling ditakuti bagi setiap permainan, apabila Beyblade milik mereka berjaya dipecahkan oleh gasing pihak lawan.

Umur bukan sebagai penghalang

Permainan Beyblade ini memberikan impak yang besar kepada orang ramai, tidak hanya tertumpu pada golongan kanak-kanak seawal usia dua tahun, namun permainan ini juga memberikan impak kepada golongan lingkungan 50 tahun ke bawah yang cuba berjinak-jinak dalam permainan ini.

Brunei Beyblade Community (2BC) dan beberapa ahli Beyblade di negara ini telah mengadakan pertandingan Beyblade di salah sebuah gedung membeli-belah di negara ini. Sesuatu yang menarik perhatian penulis, apabila salah seorang peserta yang mengikuti pertandingan tersebut merupakan seorang ibu.

Hajah Hartini binti Haji Saban ketika ditemu bual Media Permata, berkongsi pengalaman dan penglibatan beliau dalam permainan Beyblade ini. Beliau mula melibatkan diri dalam permainan ini pada awal tahun ini, dan telah menyertai tiga pertandingan Beyblade yang dianjurkan oleh ahli Beyblade di negara ini.

Menurutnya, walaupun ia masih terlalu awal untuk memperlihatkan teknik permainan Beyblade di khalayak ramai tapi pendedahan awal ini adalah sebagai semangat sekali gus menimba ilmu dan teknik dari peserta-peserta lain.

Hajah Hartini juga mengongsikan bahawa pada peringkat permulaan, permainan Beyblade ini hanya digemari oleh suami dan anak-anak sahaja. Oleh sebab keseronokan melihat suami dan anaknya bermain, beliau mula mencubanya dan permainan ini telah berjaya menarik minatnya untuk lebih mendalaminya.

“Setelah melihat kesungguhan keluarga dalam permainan ini, kami telah menubuhkan satu kumpulan bagi permainan Beyblade ini,” jelasnya.

Beliau menyatakan bahawa beliau lebih selesa menggunakan Beyblade jenis tali berbanding jenis Ripcord kerana ia mudah untuk ditarik dan membuat pelepasan Beyblade. Disamping menyertai pertandingan terbuka anjuran ahli Beyblade ini, beliau berkata latihan juga diadakan di rumah bersama ahli keluarga yang lain untuk memantapkan lagi teknik permainan. Beliau juga menambah, persaingan antara golongan dewasa dan golongan kanak-kanak bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana ia merupakan konsep dalam permainan Beyblade.

Sambutan di luar jangkaan Manakala Presiden 2BC, Awangku Mohd Afif Izzuddin bin Pengiran Haji Ismail yang baru-baru ini telah menganjurkan pertandingan Beyblade dengan kerjasama Game Master, terkejut apabila melihat sambutan menggalakkan yang di luar jangkaan iaitu lebih 230 penyertaan.

Pertandingan Beyblade yang hanya dibukakan untuk kategori terbuka itu bukan saja dapat dilihat oleh orang ramai, malah menarik lagi orang ramai untuk mula berjinak-jinak dengan permainan indoor.

Menurutnya lagi, permainan Beyblade sebenarnya sudah lama diperkenalkan di negara ini tapi ia mula dikenali sejak setahun yang lalu setelah penambahbaikan rekaan yang mana sebelum ini boleh didapati dalam jenis besi dan juga plastik.

“Beyblade ini seperti permainan gasing yang dimodenkan mengikut peredaran zaman, banyak sudah perubahan yang dilakukan pada pembuatan gasing moden,” jelasnya.

Perancangan akan datang

2BC berharap akan mengadakan pertandingan seumpama ini dalam sekala yang besar setelah mendapat sambutan yang menggalakkan dari pelbagai peringkat umur.

Bukan setakat itu, permainan ini juga mampu menyatupadukan sesebuah keluarga terutama ibu bapa dan anak-anak sekali gus mengeratkan lagi hubungan keluargaan dan perpaduan di kalangan masyarakat.

Beliau seterusnya berharap akan dapat mengembangkan lagi aktiviti ini hingga peringkat dunia untuk bersaing bagi menimba ilmu dalam teknik permainan Beyblade ini.

2BC yang telah di tubuhkan pada tahun 30 Julai 2019 sehingga kini mempunyai keramaian 1700 ahli dari pelbagai peringkat umur di seluruh Negara.