Undang-undang larang ibu bapa pukul anak

LONDON, 4 OKT – Scotland semalam menjadi negeri pertama di Britain yang melarang ibu bapa memukul anak mereka, lapor agensi berita China Xinhua.

Undang-undang baharu itu telah mendapat kelulusan anggota parlimen Scotland di Edinburgh.

Sejumlah 84 anggota parlimen mengundi ​​menyokong manakala 29 menentang Rang Undang-undang Perlindungan Kanak-kanak daripada Serangan.

Undang-undang baharu itu, yang diusulkan bekas pegawai polis John Finnie dari Parti Hijau, memberikan perlindungan yang sama kepada kanak-kanak daripada keganasan seperti orang dewasa.

Finnie berkata dengan menghapuskan hak ibu bapa untuk memukul anak mereka akan membawa Scotland ke tahap antarabangsa.

Beliau berkata “adalah mengejutkan bahawa rakyat kita yang paling kecil dan lemah adalah satu-satunya golongan yang tidak memiliki perlindungan ini dan sekarang adalah masa yang sesuai untuk membetulkan perkara itu. Hukuman fizikal tiada tempat dalam negara Scotland pada abad ke-21.” – Bernama