Undang-undang pembinaan diperketat

SYDNEY, 10 Feb – Negeri yang mempunyai penduduk paling ramai di Australia berkata hari ini ia akan melancarkan ‘pembaikpulih terbesar undang-undang pembinaan’ dalam sejarahnya, beberapa bulan selepas penduduk dipindahkan dari pangsapuri pencakar langit yang baru siap di Sydney yang mengeluarkan ‘bunyi rekahan.’

Persoalan menyelubungi industri pembinaan New South Wales selepas kira-kira 300 orang di Menara Opal setinggi 38 tingkat di Taman Olimpik Sydney dipindahkan sehari sebelum Krismas selepas laporan rekahan.

Beberapa penghuni masih belum pulang ke rumah mereka, sementara siasatan awal mendapati terdapatnya beberapa ‘isu reka bentuk dan pembinaan’ yang mungkin mendorong kepada kerosakan yang berlaku.

Bangunan itu bergerak ‘satu hingga dua milimeter’ dalam kejadian tersebut dan pihak berkuasa berkata mereka menemui rekahan di tingkat 10.

Peraturan baharu tersebut akan mewajibkan pereka, jurutera dan arkitek didaftar, berkelayakan dan bertanggungjawab terhadap kerja mereka, bertentangan dengan kos pembinaan sebelumnya yang hanya menyalahkan pembina atas sebarang kesilapan yang berlaku.

Seorang pesuruhjaya pembinaan akan dilantik untuk mengaudit kerja mereka, dan perubahan pada pelan harta dalam peringkat pembinaan tidak dibenarkan melainkan kelulusan selanjutnya diberikan. Peraturan baharu itu dirangka daripada cadangan melalui satu laporan bebas yang dilancarkan pada tahun lalu sebelum krisis rekahan, tetapi dilihat sebagai satu usaha untuk memulihkan keyakinan dalam sektor selepas bantahan orang awam.

“Mereka (penulis laporan) mendapati wujudnya masalah dalam industri pembinaan,” kata Menteri untuk Peraturan Lebih Baik NSW Matt Kean dalam satu kenyataan.

“Kami mengemukakan undang-undang baharu yang ketat untuk memastikan bangunan memenuhi standard Australia dan untuk memberi jaminan bahawa orang yang membina dan mereka bangunan mempunyai kelayakan yang sesuai untuk melakukannya.” – AFP

Gambar yang tidak bertarikh ini menunjukkan sebahagian daripada 300 warga yang menetap di Menara Opal 38 tingkat di Taman Olimpik Sydney telah dipindahkan selepas laporan mengatakan terdapatnya kesan rekahan pada bangunan itu. – AFP